TAWAU – Tindakan pantas bomba mengawal kebakaran sebuah kedai perabot di bangunan bertingkat di Sabindo di sini, berjaya menyelamatkan lebih 10 kedai lain di kawasan itu, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin berkata, dalam kejadian itu hanya kedai perabot berkenaan musnah 100 peratus.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.29 pagi dan seramai 14 anggota diketuai Syed Salipudin Habib Taha menggunakan empat jentera bomba dikerah ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Sharudy, kebakaran itu berjaya dikawal pada pukul 6.50 pagi dan operasi ditamatkan pada pukul 7.29 pagi.
Tambahnya, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan terlibat dan siasatan mengenai punca kejadian dijalankan. – BERNAMA











