Seluruh dunia terkejut dengan kematian Dr. Mursi termasuklah pemimpin-pemimpin dan pimpinan-pimpinan gerakan Islam seluruh dunia.
Dr. Mohamed Morsi adalah Presiden Mesir yang terpilih secara demokrasi dan meninggal dunia pada usia 67 tahun ketika muncul dalam pembicaraan mahkamah di Kaherah.
Beliau adalah salah seorang pemimpin Ikhwan Muslimun yang memegang jawatan Presiden Mesir pada Jun 2012 selepas menang 51.7 peratus undi dalam Pilihan Raya Kebangsaan Mesir.
Beliau telah dijatuhkan pada 3 Julai 2013 (kira-kira setahun selepas beliau berkuasa) melalui satu rampasan kuasa oleh pihak tentera yang dipimpin oleh Abdel Fattah el-Sisi dan telah ditangkap sebelum dipindahkan ke penjara.
Beliau telah dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun kerana didakwa memerintahkan penangkapan dan penyiksaan terhadap penunjuk perasaan pada 2012.
Beliau juga telah dibicarakan dalam beberapa kes lain atas dakwaan bermula dengan pembocoran maklumat perisikan hinggalah kepada bekerjasama dengan pihak asing dalam membebaskan tahanan penjara pada 2011.
Pada 2016, beliau telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana didakwa terlibat dengan pembocoran rahsia perisikan kepada Qatar. Beliau telah didakwa atas berbagai tuduhan dan diadili di mahkamah berkali-kali dan kemudiannya meninggal dunia pada 17 Jun 2019.
Perkasa difahamkan pihak Amnesty International menggambarkan sistem kehakiman Mesir sebagai sangat teruk dan hukuman bunuh untuk Dr. Mursi dan pengikut-pengikut Ikhwan Al-Muslimin dalam perbicaraan terkini sebagai tidak masuk akal.
Perkasa juga difahamkan dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Panel Penilaian Tahanan pada Mac 2018 yang dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen dan peguam British bahawa keadaan pemenjaraan Dr. Mursi boleh membawa kepada kematian mendadak.
Laporan itu juga menyebutkan bahawa Dr. Mursi menerima rawatan perubatan yang tidak wajar, terutamanya rawatan penyakit kencing manis dan penyakit hati yang dihidapi oleh Dr. Mursi. Major General Ibrahim Abd al-Ghaffar, bekas warden ‘Penjara Kala Jengking’ atau Penjara Tora pernah menyebut bahawa penjara tersebut direka bentuk untuk tahanan-tahanan politik di mana mereka yang dipenjarakan di dalamnya apabila masuk, tidak akan keluar kecuali mati.
Kematiannya yang mendadak menyebabkan berbagai kesimpulan boleh diambil. Pertama, beliau kelihatan sihat dalam perbicaraan-perbicaraan sebelum ini.
Kedua, sungguhpun layanan dalam penjara dan keadaan penjara amat menyedihkan, beliau masih boleh bertahan ketika Ramadan yang lalu.
Ketiga, sungguhpun usia beliau sudah mencecah 67 tahun, beliau sebelum ini kelihatan agak bertenaga.
Oleh yang demikian, Perkasa menuntut kerajaan Mesir menubuhkan satu Suruhanjaya Khas untuk menyiasat kematian mengejut Dr. Mursi dan menegakkan keadilan tanpa sebarang pengecualian.
Dr. Amini Amir Abdullah
Naib Presiden Perkasa











