Beg ‘SASA’ sorok dadah - Utusan Malaysia

Beg ‘SASA’ sorok dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis Sarawak menahan tiga individu termasuk seorang wanita dan merampas 406.4 gram dadah disyaki ganja bernilai RM6,900 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Haji Kassan, Kampung Nombor 4, Kuching, Sarawak, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintenden Sahar Abd. Latif berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 27 dan 34 tahun itu ditahan pada pukul 7 malam dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Tabuan Jaya, Kuching, Sarawak ketika berada di bilik tidur rumah berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan badan terhadap ketiga-tiga suspek tidak menemukan sebarang barangan salah namun hasil soal siasat, suspek lelaki berusia 33 tahun kemudian memandu arah ke lokasi serbuan kedua di Jalan Haji Kassan pada pukul 8.30 malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setibanya di rumah tersebut, suspek telah mengambil satu beg kertas bertulis ‘SASA’ yang disembunyikan di atas siling rumah bahagian dapur.

Pemeriksaan lanjut oleh pasukan serbuan mendapati beg tersebut mengandung satu beg plastik lutsinar berisi dua ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja seberat 406.4 gram bernilai kira-kira RM6,900,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujar Sahar, hasil saringan ujian air kencing suspek lelaki berusia 33 tahun didapati positif syabu manakala dua lagi suspek negatif dadah.

“Suspek lelaki berusia 33 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 sementara dua lagi rakannya dibebaskan tanpa syarat,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini