BUKIT KAYU HITAM – Pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand bagi laluan kenderaan berat dan kargo secara 24 jam yang bermula hari ini akan melalui tempoh percubaan selama tiga bulan sehingga 17 September ini.
Operasi itu melibatkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, tempoh percubaan itu dilaksanakan bagi menilai keberkesanan pelaksanaan pembukaan pintu sempadan kepada 24 jam berbanding 18 jam sebelum ini.
“Malaysia dan Thailand masing-masing telah mewujudkan pasukan penilai untuk mengenal pasti keberkesanan pembukaan pintu sempadan secara 24 jam yang melakar sejarah baharu bagi kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan pembukaan pintu sempadan bagi laluan kenderaan berat dan kargo di sempadan Malaysia-Thailand di sini, tengah malam tadi.
Yang turut hadir melancarkan majlis itu ialah Penasihat kepada Menteri Luar Thailand, Chaisiri Anaman sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Gabenor Wilayah Songkhla, Weranaan Pengjun.
Menurut Marzuki, operasi secara 24 jam itu diyakini mampu meningkatkan hubungan dagangan, menarik pelaburan asing serta merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua buah negara.
“Pembukaan ini juga menguatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand yang pada tahun lalu merekodkan jumlah dagangan sebanyak RM109 bilion iaitu peningkatan 13.7 peratus berbanding 2017 yang mencatatkan RM95 bilion,” katanya.
Sementara itu, Chaisiri berkata, kedua-dua negara akan menerima pelbagai manfaat daripada aspek perdagangan dan perkembangan industri logistik susulan pembukaan secara 24 jam itu.
“Aliran trafik keluar masuk pada waktu siang juga dijangka menjadi lebih lancar apabila pergerakan kenderaan berat boleh dilakukan sepanjang masa terutama pada tengah malam sehingga awal pagi.
“Thailand juga sedang membina Kompleks CIQ Sadao baharu yang dijadualkan dibuka awal tahun depan bagi menghubungkan secara terus dengan ICQS Bukit Kayu Hitam secara lebih efektif,” katanya. – UTUSAN ONLINE











