PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi, yang meninggal dunia, semalam.
“Sangat sedih dengan kematian Morsi, yang dipilih secara demokratik sebagai Presiden ke-5 Mesir. Kehilangan besar untuk demokrasi.
“Ucapan takziah saya kepada keluarganya dan rakyat Mesir. Semoga Allah memberkati jiwanya dan memberinya Jannah,” katanya dalam laman Twitternya sebentar tadi.
Morsi, 67, dilaporkan meninggal dunia ketika perbicaraan di mahkamah, semalam.
Menurut laporan media tempatan, Morsi rebah selepas penutup sesi perbicaraan dan meninggal dunia sejurus selepas itu.
Morsi dipilih secara demokratik pada 2012 yang menyaksikan berakhirnya pemerintahan 30 tahun Presiden Hosni Mubarak.
Beliau kemudian digulingkan selepas protes besar-besaran dan rampasan kuasa tentera pada Julai 2013. – UTUSAN ONLINE











