SEREMBAN – Sebuah pusat jagaan warga emas di sini didakwa mengabaikan penghuninya malah mereka juga dikatakan didera sejak kira-kira dua tahun lalu.
Maklumat itu tular selepas status mengenainya dimuat naik oleh sebuah akaun Facebook, ‘Cik Pah Cik Ton’ yang mendakwa sebagai pembela warga emas sejak petang semalam.
Pemilik akaun tersebut mendakwa, penghuni pusat jagaan warga emas berbayar itu antara lain dipukul, dikurung, dibiarkan kelaparan dan diikat di kerusi oleh penyelia wanita premis tersebut.
Yang menyedihkan, dakwanya warga emas itu juga dipaksa minum air kencing, makan cili dan diberi ubat tidur secara berlebihan.
Sebanyak 16 kematian dilaporkan di pusat itu sejak tahun 2017 dan angka itu dikatakan tinggi untuk sebuah pusat yang dibenarkan menjaga antara enam hingga 12 orang warga emas.
Terdapat dakwaan berlaku kematian mencurigakan melibatkan empat warga emas yang meninggal dunia sepanjang empat minggu bulan Ogos 2017. Bagaimanapun, punca kematian itu hanya dilaporkan akibat sakit tua.
Pusat jagaan itu dipercayai beroperasi sejak tahun 2016 dengan menawarkan perkhidmatan penjagaan harian serta terapi untuk warga emas.
Selain berkongsi gambar mangsa, rakaman video menunjukkan penyelia pusat jagaan itu memperolok-olokkan penghuninya, turut disebarkan dalam media sosial.
Selain menyasarkan warga emas, pekerja pusat itu juga didakwa cedera akibat dipukul dan dikurung tanpa kerelaan oleh penyelia pusat jagaan berkenaan.
Difahamkan waris kepada salah seorang penghuni pusat jagaan itu telah membuat laporan polis petang semalam.
Sementara itu, akaun Facebook ‘Cik Pah Cik Ton’ yang membongkar isu berkenaan juga didapati telah ditutup oleh pemiliknya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon memberitahu pemberita, susulan penularan perkara itu, beliau telah ke pusat jagaan warga emas itu malam tadi.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya dan satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa yang terdekat selepas siasatan selesai. – UTUSAN ONLINE











