PULAU PINANG – Pemaju dan kontraktor sebuah tapak pembinaan pangsapuri di Bandar Seri Tanjung Pinang di sini menerima padah apabila premis mereka diserbu Jabatan Imigresen semalam kerana disyaki menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Difahamkan, siasatan awal mendapati pemaju dan kontraktor tersebut mengejar masa untuk menyiapkan pembinaan dua blok pangsapuri 39 tingkat di situ bagi mengelakan mereka dikenakan denda oleh pihak berwajib sehingga bertindak menggajikan PATI tanpa pas atau dokumen yang sah.
Menurut Pengarah Imigresen negeri, Muhamad Husni Mahmud serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen negeri itu telah memeriksa seramai 101 orang pekerja terdiri daripada empat penduduk tempatan dan 97 warga asing.
“Hasilnya 87 PATI telah berjaya ditangkap terdiri daripada 46 lelaki warga Bangladesh, 22 lelaki Myanmar, 15 lelaki dan empat wanita Indonesia.
“Mereka yang ditangkap itu akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya di sini hari ini.
Muhamad Husni berkata, mereka juga didapati bersalah mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana telah tinggal lebih masa dan Peraturan 9(3) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat-syarat pas.
Sementara itu, katanya dua rakyat tempatan disaman dan diarah memberi keterangan di Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut ke atas pemilik premis dan kontraktor sedang giat dijalankan untuk dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE











