KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah mengenal pasti beberapa langkah konstruktif yang akan diambil untuk memberi kesedaran terhadap penjaga gol Red Giants, Farizal Harun di atas beberapa kesalahan yang dilakukannya.
Farizal sebelum ini terpalit dengan kontroversi apabila dia bertindak di luar jangkaan apabila menumbuk muka pemain tengah PKNP, Mohamed Al-Fateh ketika aksi liga pada 18 Mei lalu.
Tidak cukup dengan itu, bekas penjaga gol Felda United tersebut turut terlibat dengan insiden mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penyokong Red Giants ketika pasukan itu tewas 0-1 kepada Terengganu dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu pada 24 Mei lalu.
“Pertama sekali, FAS telah memutuskan untuk Farizal menjalani program khidmat masyarakat dalam klinik bola sepak sebagai jurulatih penjaga gol untuk anak-anak muda di sekitar Selangor.
“Keduanya, beliau telah bersetuju untuk mengikuti sesi kaunseling bersama pakar yang akan dikenalpasti dalam masa terdekat.
“Tambahan daripada denda yang telah dikenakan oleh FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kepadanya, kos-kos berkaitan dengan kesemua perkara di atas akan ditanggung sepenuhnya oleh Farizal,” kata FAS dalam satu kenyataan.
Farizal dikenakan hukuman penggantungan lima perlawanan selain denda RM5,000 oleh FAM di atas kedua-dua kesalahan tersebut.
Kesal dengan apa yang berlaku, penjaga gol berusia 33 tahun itu bersetuju untuk menaja kos perjalanan bas dan tiket perlawanan bagi 30 penyokong untuk aksi menentang Felda United pada 7 Julai ini dan 30 peminat bagi menghadapi Perak tiga hari kemudian.
“60 penyokong ini akan dipilih oleh FAS berdasarkan rekod kehadiran mereka bersama program Away Day FAS sebelum ini,” kata FAS lagi











