PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berharap tohmahan kononnya beliau mempunyai agenda tertentu dalam pelantikan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) di kementeriannya, Haziq Abdullah Abdul Aziz dihentikan dengan segara.
Jelasnya, beliau juga menyeru pihak yang membuat tohmahan tidak berasas dan fitnah liar terhadap pelantikan Haziq agar menghentikan tuduhan tersebut.
“Saya juga tegaskan bahawa saya menolak sebarang politik kotor yang ingin mencemarkan nama baik mana-mana pemimpin ataupun individu.
“Berilah ruang kepada pihak berwajib untuk menyiasat isu berkenaan dan marilah kita memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih utama dan menjadi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, Haziq telah digantung tugas berkuatkuasa Khamis lalu dan diarahkan memberi surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari berhubung isu tersebut.
Bagaimanapun, Kosmo! masih belum menerima maklumat terkini mengenai status tugas Haziq sama ada masih bertugas atau diberhentikan daripada jawatan SUSK Shamsul Iskandar di Kementerian Industri Utama.
Mengulas lanjut, menurut kenyataan Shamsul Iskandar, Haziq mula memohon untuk bekerja di kementerian selepas SUSK beliau yang pertama meletakkan jawatan.
Jelasnya, beliau juga ada menerima beberapa permohonan lain untuk jawatan berkenaan namun, setelag ditemuduga dan mengambil kira kelayakan akademik, pengalaman pentadbiran dan juga keperluan kementerian untuk wakil dari Sarawak dan Sabah, Haziq secara strategiknya merupakan calon yang sesuai untuk jawatan berkenaan.
“Sebelum dilantik bekerja di kementerian, beliau juga pernah terlibat dengan beberapa pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) antaranya menjadi pelatih di firma guaman Baru Bian yang kini dilantik Menteri Kerja Raya, pelatih bersama Lawyers for Liberty (Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N.Surendran), pelatih INVOKE (Rafizi Ramli), pelatih di Pejabat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di bawah seliaan Setiausaha Akhbar Khalid Jaafar dan pelatih di firma Yusmadi & Co.
“Beliau juga pernah membantu saya dalam hal-hal yang berkaitan penyelidikan parlimen dan juga merupakan penghubung kepada pemimpin-pemimpin muda dalam PKR,” katanya. -K! ONLINE











