LONDON – Pengurusan tertinggi Manchester United kurang senang dengan keputusan Paul Pogba mendedahkan kepada umum tentang keinginannya untuk meninggalkan Old Trafford, kerana mereka masih mahu mengekalkan bintang antarabangsa Perancis itu.
Pogba berkata kepada pemberita di Tokyo, sudah tiba masanya untuk dia mencari cabaran baru, selepas pemain tengah itu dikhabarkan menarik minat dua kelab gergasi Juventus dan Real Madrid, dengan Zinedine Zidane menjadikan rakan senagaranya itu sebagai sasaran utama Real, musim panas ini.
Bagaimanapun, menurut akhbar England, Daily Mail, kenyataan Pogba itu ternyata membuat lembaga United kurang senang dengan pemain yang mencatat rekod pembelian kelab.
Pada musim panas lalu, ketika pemain itu menarik minat Barcelona, mereka telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pogba tidak akan meninggalkan kelab dan pendirian itu masih kekal utuh meskipun pemain tersebut membuat pengakuan secara terbuka kepada umum.
Sepanjang pengetahuan lembaga United, hanya tawaran lumayan yang mampu meyakinkan mereka untuk menjual pemain itu dan Pogba sebenarnya masih berada dalam perancangan kelab, musim depan.
United turut kecewa kerana Pogba membuat kenyataan tentang masa depannya ketika dia melakukan jelajah promosi bersama jenama jersi rasmi kelab, Adidas.
Bercakap kepada pemberita sewaktu menyertai jelajah Asia itu, Pobba menjelaskan: “Seperti mana yang anda katakan, begitu banyak spekulasi tentang saya dan saya juga perlu memikirkan semasak-masaknya.
“Saya telah bersama Manchester selama tiga tahun dan sepanjang tempoh itu, saya mengharungi pelbagai detik manis dan pahit seperti mana orang lain. Selepas apa yang berlaku, musim ini tetap menjadi musim terbaik saya. Saya rasa ia masa terbaik untuk mendapatkan cabaran baru di tempat lain. Saya sedang memikirkan tentang hal ini.”
Pogba menikmati musim terbaiknya bersama United, dengan meletakkan dirinya selaku penjaring gol dan menyempurnakan bantuan terbanyak dalam carta kelab, dan mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan tandatangannya perlu berbelanja sekitar 150 juta pound (RM786 juta). – AGENSI











