KUALA LUMPUR – Ringgit melemah berbanding dolar AS hari ini, sama seperti kebanyakan mata wang Asia lain selepas dolar melonjak berikutan pengumuman data pengeluaran dan jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang lebih baik daripada jangkaan untuk Mei, yang dibuat pada Jumaat lepas.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu jatuh kepada 4.1770/1800 berbanding dolar US daripada 4.1650/1690 yang direkodkan sebelum ini.
Penganalisis FXTM, Han Tan berkata, data ekonomi AS yang bercampur-campur mungkin memberi tanda kepada Rizab Persekutuan bahawa ia belum bersedia bagi sebarang penurunan kadar faedah, yang membolehkan dolar mendapat momentum dan naik lebih tinggi semasa dalam interim.
“Komen-komen yang lebih pasif daripada Rizab Persekutuan pada minggu ini mungkin boleh membantu ringgit mengatasi dolar US untuk kembali dalam lingkungan 4.16 – 4.17.
“Bagaimanapun, jika dolar US menjadi lebih tinggi pada tanda-tanda bahawa Rizab Persekutuan akan mengekalkan pendirian semasa pada dasar monetari, tahap 4.1825 mungkin akan memberikan rintangan kuat bagi pasangan mata wang terbabit dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.











