KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini susulan penurunan dalam saham mewah dan sejajar dengan prestasi kebanyakan bursa utama serantau lain menjelang beberapa mesyuarat dasar bank-bank pusat utama pada minggu ini, kata para peniaga.
Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.23 mata kepada 1,638.40 berbanding paras penutup 1,638.63 pada Jumaat.
Indeks utama itu yang dibuka tinggi naik 0.30 mata kepada 1,638.93 pagi ini, bergerak antara paras 1,637.46 dan 1,644.04 sepanjang hari dagangan.
Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 537 berbanding 254, manakala 351 kaunter tidak berubah, 738 tidak diniagakan dan 34 yang lain digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 1.62 bilion unit bernilai RM1.43 bilion daripada 1.75 bilion unit bernilai RM1.67 bilion yang dicatatkan pada Jumaat minggu lepas. – BERNAMA











