Tragedi akhbar Utusan Melayu - Utusan Malaysia

Tragedi akhbar Utusan Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKHBAR Utusan Melayu akan tetap dikenang sebagai ‘akhbar teragung sepanjang zaman’ yang telah berjaya memainkan peranan sebagai lidah orang Melayu selama 67 tahun, menewaskan Jawi Peranakan, akhbar Melayu yang pertama muncul di Singapura pada 1876 yang terpaksa meng­akhiri era gemilangnya pada April 1895 setelah berkhidmat kepada masyarakat di Singapura selama hampir 20 tahun.

Menurut A. Samad Ismail dalam tulisannya bertajuk Suara Keramat Membawa Tradisi Baru yang disiarkan dalam buku Di Sebalik Jendela Utusan (1989), impian bangsa Melayu untuk mempunyai sebuah suratkhabar harian yang besar dan moden yang dimodali sendiri, dikendalikan sendiri dan ditadbirkan sendiri oleh bangsa Melayu telah tercapai pada 29 Mei 1939.

“Nasionalisme Melayu telah melahirkan anak sulungnya dalam bentuk rupa sebuah akhbar harian iaitu Utusan Me­layu…” (A. Samad Ismail 1989:62).

Memuatkan artikel berkaitan…

Samad menjelaskan, kelahiran Utusan Melayu pada 1939 dimungkinkan oleh ke­sedaran bangsa Melayu yang kian me­ningkat bagi menjamin masa depannya sebagai jurubicara kebangkitan nasionalisme bangsanya. Namun begitu, ha­yat Utusan Melayu turut menjejaki nasib Jawi Peranakan.

Ding Choo Ming dan Roosfa Hashim (2006) dalam tulisan bertajuk Penutupan Akhbar Utusan Melayu: Nasib Tulisan Jawi dalam PEMIKIR Bil. 45 Julai-September 2006 (halaman 19-41) menyatakan, sebelum itu semua akhbar Melayu bertulisan Jawi pendek-pendek belaka jangka hayatnya.

“Ini termasuklah Jawi Pera­nakan yang lahir di Singapura pada 1876. Pada 1939 barulah muncul Utusan Melayu, sebuah akhbar harian dalam huruf jawi. Ia diterbitkan sehingga 31 Disember 2002 kerana mulai 1 Januari 2003, akhbar harian itu ditukar kepada akhbar mingguan dengan nama Utusan Melayu Mingguan” (Ding Choo Ming dan Roosfa Hashim (2006: 22).

LUAR BIASA

Namun bagi Choo Ming dan Roosfa (2006), kalau kematian akhbar Jawi Peranakan dan lain-lain akhbar bertulisan jawi pada abad ke-19 adalah dianggap perkara biasa tetapi ‘kematian’ akhbar Utusan Melayu pada abad ke-21 adalah sesuatu yang luar biasa kerana dalam usia 67 tahun ia sengaja dipandang sepi oleh orang Melayu.

“Tetapi kematian Utusan Melayu adalah berita besar, sedih dan pedih kerana akhbar itu satu-satunya dalam tulisan jawi masa kini dan selalu dianggap sebagai warisan. Bagaimanapun komitmen pembaca khususnya orang Melayu untuk mempertahankan warisan ini tidak ada (Ding Choo Ming dan Roosfa Hashim (2006: 22).

Sarjana ini turut menyatakan walaupun penerbitan Utusan Melayu merugikan tetapi penghentiannya adalah satu kehila­ngan, malahan tragedi dalam sejarah persuratkhabaran berbahasa Melayu.

“Secara ideal, Utusan Mela­yu patut ada kerana ada 16 juta orang Melayu di Malaysia sahaja. Tetapi pada hakikatnya, penerbitannya mendatangkan kerugian kewangan kepada Utusan Melayu (Malaysia Berhad) setiap kali diterbitkan sejak sekian lama (Ding Choo Ming dan Roosfa Hashim (2006: 21).

Memetik tulisan Tan Sri Johan Jaaffar (2006) bertajuk: Petanda Melayu Tidak Peduli: Penutupan akhbar Jawi Utusan Melayu, Utusan Melayu Mingguan jejas maruah bangsa’ yang tersiar dalam Berita Minggu 19 Februari 2006 yang menyatakan: “Edaran Utusan Melayu sebelum ditutup tidak lebih daripada 8,000 naskhah sehari. Syarikat itu menanggung kerugian RM8,000 hingga RM10,000 sehari.

“Bayangkan jumlahnya setahun… dengan kos kertas yang tinggi dan modal tenaga yang bukan kecil, akhbar itu sepatutnya sudah lama ditutup, jikalau perkiraannya semata-mata kepentingan ekonomi”.

Choo Ming dan Roosfa me­nyatakan, berbanding bangsa-bangsa lain seperti Jepun, Cina, India dan Thailand yang tetap berbangga dengan tulisan asal bahasa mereka tetapi mengapa orang Melayu meminggirkan tulisan jawi?

PERUBAHAN

Antara kebimbangan yang timbul oleh sarjana ini ialah apa akan berlaku kepada tulisan jawi dalam masa 100 atau 200 tahun yang akan datang?

“Lazimnya kehilangan ejaan dan bahasa adalah dise­babkan pengguna ejaan dan bahasa itu sudah berpindah ke negara lain tetapi tulisan jawi mungkin tidak akan digunakan orang Melayu di negaranya sendiri seperti bahasa Sanskrit tidak digunakan orang India di negaranya dahulu” (Ding Choo Ming dan Roosfa Hashim (2006: 26)

Dua sarjana ini membuat kesimpulan bahawa situasi ini mungkin disebabkan perubahan sosial budaya, ekonomi dan politik yang menyebabkan orang Melayu memilih rumi atau lebih suka akhbar berbahasa Inggeris, misalnya dan bukan Utusan Melayu yang menjadi lambang kemegahan tamadun Melayu masa lampau setelah orang Melayu diberi pilihan menggunakan tulisan rumi atau Jawi sejak tahun 1950-an lagi.

ESOK: Utusan terus perjuangkan Jawi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini