PULAU PINANG – Penduduk negeri ini diseru memanfaatkan perkhidmatan rawatan kesihatan secara online di rumah tanpa perlu ke mana-mana pusat rawatan menerusi inisiatif DoctorOnCall yang sudah beroperasi di negeri ini.
Menerusi perkhidmatan klinik online itu, penduduk negeri ini dapat berhubung dengan doktor menggunakan peranti di rumah untuk mendapatkan khidmat konsultansi mengenai masalah kesihatan yang dihidapi mereka.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin, inisiatif itu mempermudahkan orang ramai yang tidak berkesempatan untuk ke klinik atau hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan kesihatan.
Selain itu, katanya, ia juga membantu kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang mempunyai rangkaian internet.
“Perkhidmatan ini boleh digunakan dengan melayari laman web www.DoctorOnCall.com.my atau menghubungi talian 03-84082000.
“Malah, kerajaan negeri juga menawarkan promosi menerusi kod PENANG2030 yang mana orang ramai bakal menikmati konsultasi percuma daripada doktor yang bertugas beserta diskaun 20 peratus bagi ubat-ubatan yang diperlukan yang akan dihantar secara percuma ke rumah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Perkhidmatan DoctorOnCall sebelum ini telah bekerjasama dengan beberapa kerajaan negeri sebagai klinik panel antaranya bagi program Peduli Sihat Selangor; Perak Prihatin dan KIDA Kedah.
Ketika ini, terdapat sekurang-kurangnya 80 doktor pakar terlibat dalam inisiatif itu yang bersedia memberi konsultansi bagi pelbagai jenis penyakit seperti demam; batuk dan selsema selain penyakit jangka panjang seperti kencing manis; tekanan darah tinggi; kolesterol dan sebagainya.
Sementara itu, Kon Yeow menyifatkan inisiatif tersebut selari dengan visi Penang 2030 iaitu ke arah meningkatkan kualiti hidup, kesejahteraan dan kesihatan penduduk negeri ini. – UTUSAN ONLINE











