Politik kawan jadi lawan `mengaum' kembali 2019? - Utusan Malaysia

Politik kawan jadi lawan `mengaum’ kembali 2019?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK sering dibentangkan sebagai ‘the art of the possible’ atau seni kemungkinan.

Kalau dibaca secara mata kasar penyebaran klip video tular memaparkan dua lelaki melakukan aksi seksual dengan seorang daripadanya didakwa kelihatan menyerupai menteri Kabinet – itulah juga elemen ‘politik’.

Ia umpama ‘serial political assassination’, terhadap individu yang tidak dikehendaki. Maka, akan diwujudkan pelbagai cerita untuk menanam kebencian ahli dan rakyat terhadapnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hakikatnya, dalam politik apa pun boleh berlaku. Semua maklum sentimen ini, hatta, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, waima Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Najib Tun Razak pun.

Musuh pada hari ini boleh menjadi kawan dan penyokong pada hari muka. Keadaan manis menjadi asam atau keadaan pahit menjadi manis.

Dalam politik, alamnya terus berputar. Isu sentiasa timbul tenggelam mengikut keadaan dan kerenah manusia.

Apabila kawan bertukar sifat daripada yang dijangkakan, kita hanya senyum kambing berkata: “Apa nak buat”. Bak kata orang kampung, “Sudah terlangsung beragih.” Keris pusaka sudah terlepas ke tangan orang.

Pengalaman seperti ini wajar ditelan seperti manisan sahaja walaupun ditelan itu sebenarnya hempedu yang pahit. Di samping itu ada pula manusia yang sama-sama berjuang tetapi tidak henti-henti dengki dan curiga atas kebolehan orang lain. Ini pun ditelan.

Allahyarham Datuk Onn Jaafar, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Musa Hitam, Allahyarham Tun Ghafar Baba dan beberapa pemimpin tertinggi kerajaan, lebih-lebih lagilah mengalami derita politik seperti ini. Tapi mereka dalam situasi tertentu berdaya tahan (survive).

Boleh dikatakan setiap pemimpin atau ahli politik mengalami sebanyak sedikit peristiwa ‘kawan-jadi-lawan’ dan ‘lawan-jadi-kawan’.

Cuma bagi mereka yang lebih terkenal seperti peringkat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Menteri Besar, hal ini lebih menonjol – lantaran kedudukan yang tersohor dan disebarkan pula menjadi omo­ngan media.

Apabila fenomena kawan-jadi-lawan ini dihalusi, akan terserlah beberapa realiti yang layak dijadikan bahan falsafah hidup.

Dalam politik, sebenarnya daya tahan amat penting sekalipun fenomena kawan jadi lawan berterusan diamalkan. Tahan kalah, tahan kena kritik dan tahan sabar. Telinga pun tak boleh terlalu nipis, apabila ditegur mudah melenting.

Reaksi terhadap cakap orang atau penyampaian ‘orang kita’ perlu ditapis dan dihalusi sebelum diterjemahkan kepada tindak balas. Hubaya tentang laporan yang lunak dan cantik atau hanya memuji-muji pemimpin.

Oleh sebab sesuatu kesilapan yang dilakukan dalam politik, biasanya amat besar risikonya, seseorang yang memegang jawatan tinggi perlu cermat dan hati-hati dalam serba-serbi tindakan, termasuk kenyataan kepada media atau pandangan masyarakat seluruhnya kepada perwatakan dan dirinya. Ada belaka padahnya yang buruk.

Ada juga kata-kata bijaksana yang merumuskan bahawa hidup berpolitik semacam tinggal di dalam rumah kaca. Harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau yang harus tidak dibuat kerana nanti orang akan nampak. Atau orang akan mudah bertindak balas.

Lalu dikatakan penghuni rumah kaca jangan buang batu, nanti apabila orang membaling batu, rumah itu akan pecah dan musnah.

Malangnya, tidak semua ahli politik yang berkebolehan bersikap positif dan hati-hati sentiasa. Apabila terlupa sedikit, ada sahaja mudarat yang sampai.

Ada kalanya keaiban meletus pada saat-saat yang tidak disangka-sangka.

Dan ada kalanya jerat negatif mengena apabila seseorang itu sudah meletak jawatan atau lama bersara.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini