Mangkuk cendol bernilai RM900,000 untuk dieksport ke Taiwan dirampas - Utusan Malaysia

Mangkuk cendol bernilai RM900,000 untuk dieksport ke Taiwan dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis berjaya mematahkan cubaan satu sindiket mengeksport dadah ke Taiwan selepas merampas 6.2 kilogram dadah jenis ketamin yang disembunyikan dalam mangkuk cendol di sebuah premis syarikat kurier di Salak Selatan di sini semalam.

Taktik sindiket itu terbongkar, selepas syarikat kurier tempatan berkenaan curiga dengan barang yang diperoleh mereka untuk dieksport ke negara terbabit.

Bertindak atas maklumat tersebut pihak polis membuat pemeriksaan bermula pukul 10.15 pagi sebelum menemui dadah ketamin yang disembunyikan dalam 154 mangkuk cendol.

Memuatkan artikel berkaitan…

Susulan rampasan itu, pihak polis menahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 23 tahun di kawasan Ampang, Selangor.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, dadah berkenaan diletakkan di dalam mangkuk cendol sebelum satu lagi mangkuk besi ditindihkan atas dadah berkenaan.

Katanya, kedua-dua mangkuk itu dipateri bagi mengelak dari dikesan pihak berkuasa.

“Hasil siasatan kita percaya mangkuk berkenaan dibawa masuk dari negara luar dan Malaysia dijadikan tempat transit sebelum ia dieksport ke Taiwan.

“Nilai rampasan ketamin itu RM372,000 namun harganya berganda di Taiwan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini hari ini.

Difahamkan, satu kilogram dadah ketamin dijual dengan harga RM150,000 di Taiwan dan ini sekali gus menunjukkan nilai rampasan ketamin itu RM900,000 dipasaran negara terbabit.

Menurutnya lagi , hasil siasatan lanjut mendapati salah seorang daripada suspek berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Kedua-dua suspek kini direman sehingga 18 Jun depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli memberitahu pihaknya bekerjasama dengan polis Taiwan bagi mengesan saki baki sindiket berkenaan. – K! ONLINE

Dadah berkenaan diletakkan di dalam mangkuk cendol sebelum satu lagi mangkuk besi ditindihkan atas d
Dadah berkenaan diletakkan di dalam mangkuk cendol sebelum satu lagi mangkuk besi ditindihkan atas dadah berkenaan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini