RIO DE JANEIRO – Pasukan keselamatan Brazil akan menggunakan khidmat anjing pengesan bagi memastikan kelancaran kejohanan Copa America yang akan bermula Jumaat ini.
Lebih daripada 10,000 pengaal keselamatan swasta akan digunakan bagi membantu pasukan keselamatan sedia ada manakala polis berpakaian seragam akan berada di luar stadium bagi mengelakkan kekacauan.
“Dengan pengalaman yang ada, saya beri jaminan kami mampu menjayakan Copa America kali ini dengan selamat,” kata Pengarah Operasi Bersepadu Kementerian Keselamatan, Cesar Martinez.
Brazil pernah menjadi tuan rumah Piala Konfederasi pada 2013, Piala Dunia 2014 dan temasya Sukan Olimpik Rio pada 2016 tanpa insiden besar di semua bandar raya utamanya.
Brazil mengambil langkah awal menapis kemasukan samseng bola sepak luar daripada memasuki negara mereka menjelang sepak mula kejohanan itu sebagai langkah mengurangkan risiko keganasan.
Pihak imigresen dan pengawal sempadan juga sudah diingatkan supaya mengenal pasti suspek keganasan sambil Jabatan Keselamatan Imigresen menggunakan teknologi pengecaman wajah di semua pintu masuk negara itu.
Argentina memberi kerjasama rapat apabila menyalurkan maklumat 5,000 penyokong mereka yang pernah terbabit dalam keganasan bola sepak.-AFP











