Proton catat jualan tertinggi dalam tempoh 46 bulan - Utusan Malaysia

Proton catat jualan tertinggi dalam tempoh 46 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Jun – Proton Holdings Berhad mencatatkan angka jualan tertinggi dalam tempoh 46 bulan apabila berjaya menjual sebanyak 10,611 buah kereta pada Mei.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, jualan pada Mei meningkat 51.3 peratus berbanding April dan mendorong pertumbuhan jualan keseluruhan bagi lima bulan pertama tahun ini kepada lebih 70 peratus berbanding tempoh sama 2018.

Katanya, peratusan pega­ngan pasaran untuk bulan tersebut dianggarkan pada 17.2 peratus yang menandakan satu lagi catatan cemerlang syarikat sejak Januari 2016.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pertumbuhan jualan Proton yang kukuh pada tahun ini diterajui oleh model-model yang menawarkan ciri-ciri pintar termasuk Proton X70. Sebanyak 2,439 buah X70 telah terjual pada Mei dan secara keseluruhannya sebanyak 13,572 buah telah diserahkan kepada pelanggan dalam tempoh berkenaan.

“Model terdahulu Iriz dan Persona mengakhiri bulan tersebut dengan jualan sebanyak 2,972 buah manakala model terkini berjaya memperoleh jualan sebanyak 940 buah yang merupakan angka tertinggi setakat ini dalam tempoh lebih dua tahun. Kedua-dua model menerima lebih daripada 10,000 tempahan dan dijangka meningkat pada bulan-bulan seterusnya,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Tambah Chunrong, Proton Saga menunjukkan kenaikan semula jualan yang telah melepasi 3,000 buah kenderaan untuk bulan kedua berturut-turut.

Menurutnya, jualan Saga telah meningkat sebanyak 41 peratus secara keseluruhan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini menunjukkan trend positif yang kukuh untuk model itu di mana model yang menerima penambahbaikan ketara bakal diperke­nalkan pada separuh kedua tahun ini.

“Proton menerima hasil untuk pelaburannya pada produk-produk, kakitangan serta cawangan-cawangan jualan menerusi peningkatan jualan sebanyak 70 peratus setakat ini. Syarikat berharap dapat mengakhiri jualan ke­se­luruhan di tempat ke­dua bagi dua bulan berturut-turut.

“Kami yakin dapat mengekalkan prestasi jualan yang mantap sepanjang tahun,” katanya.

Mengenai strategi separuh kedua tahun ini, Chunrong berkata, syarikat akan terus meningkatkan jualan dengan memperkenalkan model-model sedia ada yang telah ditambah baik serta meningkatkan pengalaman pelanggan dengan membuka lebih banyak cawangan 3S atau 4S.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini