KUALA LUMPUR- Sebanyak 229 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan dalam tempoh 14 hari Op Selamat 15 sempena perayaan Aidilfitri sejak dilancarkan pada 29 Mei lalu.
Daripada jumlah ini, sebanyak tujuh lagi kemalangan maut dicatatkan dengan jumlah keseluruhan 213 kes.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, Selangor masih merekodkan jumlah keseluruhan kematian tertinggi dengan 37 kes diikuti Johor 33 kes dan Perak 23 kes.
“Sebanyak lapan kematian direkodkan pada hari ke-14 menjadikan jumlah keseluruhan 229 kes berbanding hari sebelumnya iaitu 221 kematian.
“Jumlah kemalangan dicatatkan sehingga semalam ialah 22,852 dengan pertambahan 1,587 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Selangor merupakan penyumbang terbesar angka kemalangan dengan 5,946 kes diikuti Johor dengan 3,550 kes dan Kuala Lumpur 2,629 kes.
Katanya, sebanyak 319,576 saman dikeluarkan sepanjang tempoh Op Selamat 15 dengan Kontinjen Bukit Aman mencatatkan pengeluaran tertinggi iaitu 64,182 notis.
“Selain itu, sebanyak 730 kes pecah rumah dan premis yang mana Selangor mempunyai rekod paling tinggi, iaitu 178 kes,” katanya.-UTUSAN ONLINE











