MADRID – Antoine Griezmann tidak pasti sama ada akan kekal di La Liga atau sebaliknya selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Paris Saint-Germain (PSG) dengan bintang penyerang itu sudah bersedia untuk meninggalkan Atletico Madrid.
Griezmann akan meninggalkan Atletico selepas lima tahun bersama dan juara dunia bersama Perancis itu dikatakan bakal menyertai juara Sepanyol, Barcelona.
Bagaimanapun, PSG muncul sebagai destinasi baharu buat Griezmann selepas pasukan itu tidak pasti mengenai masa depan Kylian Mbappe dan Neymar.
Meskipun spekulasi berhubung perpindahan itu sedang hangat diperkatakan, pemain berusia 28 tahun itu dilihat tenang.
“Kita perlu bersabar kerana masih terlalu awal.
“Saya juga mahu putuskan masa depan saya segera tetapi saya perlu bersabar.
“Saya tidak pasti sama ada akan kekal di Sepanyol. Mungkin lagi dua minggu kita semua akan tahu. Saya hanya mahu bermain bola sepak dan bergembira,” katanya selepas membantu Perancis menundukkan Andorra 4-0 dalam aksi kelayakan Euro 2020.
Griezmann mula menyertai Atletico daripada Real Sociedad pada 2014 dan sejak bersama pasukan itu, dia berjaya merangkul kejuaraan Liga Europa, UEFA Super Cup dan Supercopa de Espana.
Dia juga meledak 15 gol La Liga musim ini bagi membantu Atletico menamatkan saingan di belakang Barcelona.-AGENSI











