PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pelaburan yang dibuat oleh Japan Overseas Infrastructure Investment Corporation (JOIN) bukti keyakinan mereka terhadap dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan.
Beliau berkata, Malaysia mengalu-alukan kemasukan pelaburan asing khususnya dari Jepun.
“Pelaburan asing akan meningkatkan kemahiran dan upah pekerja tempatan. Ia juga membantu meningkatkan daya saing ekonomi negara melalui pemakaian teknologi baharu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berucap dalam majlis menandatangani perjanjian langganan saham antara syarikat Tasco Berhad dan JOIN di sini.
Pada majlis itu Tasco diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Lee Check Poh dan JOIN diwakili Pengarahnya, Rikiya Kanamori.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa.
Guan Eng berkata, pelaburan JOIN akan memberi manfaat kepada rangkaian logistik industri sejuk beku.
“Melalui rangkaiannya di seluruh dunia, JOIN boleh menjadi landasan buat syarikat Malaysia memasuki pasaran dunia,” katanya.
Melalui perjanjian itu, JOIN akan melanggan sebanyak 30 peratus saham anak syarikat Tasco, Tasco Yusen Gold Cold Sdn. Bhd. membabitkan pelaburan bernilai RM125 juta.
JOIN juga komited untuk meningkatkan kerjasama membabitkan perkongsian kepakaran melalui pemindahan teknologi yang akan memberi manfaat kepada rangkaian logistik industri sejuk beku.
JOIN adalah dana tajaan swasta-kerajaan Jepun bagi pelaburan infrastruktur di luar negara untuk menyokong dan memudahkan penyertaan syarikat Jepun di pasaran infrastruktur global.
JOIN dimiliki oleh Kementerian Kewangan Jepun dengan pegangan sebanyak 87.9 peratus, manakala Tasco adalah penyedia penyelesaian tersenarai di Bursa Malaysia. – UTUSAN ONLINE











