KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya mengagihkan sebanyak 100 kit Aidilfitri kepada pengguna jalan raya sempena Operasi Selamat sepanjang musim perayaan baru-baru ini.
MPSJ dalam satu kenyataan memberitahu, program yang diadakan di laluan Tol Lebuhraya Shah Alam (Kesas) itu selaras dengan Operasi Selamat 15 sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dilancarkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamis Bador pada 24 Mei lalu.
“Inisiatif ini berperanan membantu pihak berkuasa memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya mengenai pemanduan selamat dan berhemah.
“Ia diharap dapat meminimumkan kadar kemalangan pada musim perayaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











