KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof memaklumkan tiada sebarang keperluan untuk meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama (PSC).
Beliau berkata, PSC adalah sebuah badan yang mengawasi sebarang isu pelantikan yang dibuat dalam organisasi kerajaan dan bukannya badan yang berfungsi untuk mengesahkan pelantikan bagi satu-satu jawatan.
“Tiada keperluan untuk menggubal undang-undang kerana PSC bukannya seperti Kongres Amerika Syarikat kerana ia adalah sebuah badan yang ditubuhkan di Parlimen dan bertujuan mengawasi sebarang pelantikan jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata, PSC tidak boleh berfungsi secara sah memandangkan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda.
Mengulas lanjut, Mohamad Ariff walau bagaimanapun berkata, PSC berhak memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya berhubung sebarang isu yang ingin dibincangkan.
Katanya, perkara itu selaras dengan bidang kuasa PSC sedia ada, namun jawatankuasa itu sama sekali tidak boleh mempertikaikan pelantikan yang sudah dibuat.
“Pelantikan Latheefa sama sekali tidak boleh dipertikaikan kerana kuasa melantik adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
“Sememangnya pelantikan itu dibuat mengikut undang-undang dan tiada sebarang masalah. Namun, isunya adalah bagaimana jawatankuasa itu mampu menjadi sebuah badan yang boleh mengawal selia atas perkara tertentu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











