KEPALA BATAS – Seorang lelaki maut dengan kaki kirinya terputus selepas digilis kereta api di landasan kereta api Permatang Setar, di sini dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi tadi.

Mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diseret sejauh 230 meter berdasarkan penemuan darah, cebisan daging dan pakaian mangsa di atas landasan kereta api.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa dipercayai memasuki laluan kereta api itu melalui lubang pada pagar di lokasi kejadian.
Menurut beliau, polis turut menemukan sebuah motosikal jenis Suzuki RC100 dengan nombor pendaftaran PCB 7961 di tepi pagar dipercayai digunakan mangsa sebelum memasuki kawasan laluan kereta api berkenaan.
“Kawasan tersebut dipagar dengan jaring besi dan sepatutnya tidak boleh dimasuki sesiapa pun.
“Namun, terdapat lubang pada pagar jaring besi itu yang dipercayai digunakan oleh penduduk setempat untuk melintasi laluan kereta api berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan mangsa membunuh diri dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat. – UTUSAN ONLINE











