PARIT – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat membunuh seekor lembu dan mencuri haiwan tersebut, Selasa lalu.
Azizi Naziri, 32, dijatuhi hukuman berkenaan setelah mengaku bersalah di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd. Yusuf.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan membunuh seekor lembu betina milik P. Kanuappan, 72, yang bernilai RM8,000 pada pukul 11.30 pagi di Ladang Sadang, Parit pada 4 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Lelaki itu turut menghadapi pertuduhan kedua iaitu mencuri lembu betina milik Kanuappan pada masa, lokasi dan tarikh yang sama.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.
Nazratul Natrah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin bagi kesalahan melakukan khianat manakala bagi kesalahan mencuri pula, tertuduh dihukum penjara tujuh hari dari tarikh tangkap dan denda RM2,000.
Sementara itu di mahkamah sama, rakan Azizi, Mohamad Zaki Zakaria, 57, yang dituduh berasingan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melepaskan tembakan dan menyebabkan kematian lembu berkenaan.
Lelaki yang melakukan perbuatan tersebut pada masa, tempat dan tarikh yang sama itu dituduh mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Nazratul Natrah kemudiannya membenarkan lelaki yang tidak mempunyai peguam itu dijamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai ini sebagai sebutan semula kes.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairuz Abd. Mutalib manakala Azizi diwakili peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid. – UTUSAN ONLINE











