PUTRAJAYA – Kerajaan akan mempercepatkan proses permohonan pelaburan di negara ini dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bagi tujuan itu kerajaan telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr. Ismail Bakar untuk mempercepatkan proses kelulusan permohonan yang sebelum ini memakan masa dan melibatkan pelbagai agensi.
Perdana Menteri memberi contoh pelaburan dalam sektor pembinaan perlu melalui 60 proses membabitkan pelbagai agensi untuk mendapatkan kelulusan.
“Kita sudah ada pusat sehenti, tetapi kewujudan pusat sehenti juga tidak dapat mempercepatkan proses kelulusan pelaburan.
“Sebab itu kita telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara untuk mengurangkan bilangan proses, agensi dan masa yang diambil dalam memberikan kelulusan kepada pelaburan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bil. 3/2019 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











