KUALA LUMPUR- Sebanyak 221 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan dalam tempoh 13 hari Op Selamat 15 sempena perayaan Aidilfitri sejak dilancarkan pada 29 Mei lalu.
Daripada jumlah ini, sebanyak 13 lagi kemalangan maut dicatatkan dengan jumlah keseluruhan 206 kes.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, Perak merekodkan kematian tertinggi dengan empat kes diikuti Johor dan Terengganu masing-masing dua kes.
“Sebanyak 14 kematian direkodkan pada hari ke-13 menjadikan jumlah keseluruhan 221 kes berbanding hari sebelumnya iaitu 207 kematian.
“Jumlah kemalangan dicatatkan sehingga semalam ialah 21,265 dengan pertambahan 1,750 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Selangor merupakan penyumbang terbesar angka kemalangan dengan 5,487 kes diikuti Johor dengan 3,293 kes dan Kuala Lumpur iaitu 2,405 kes.
Katanya, sebanyak 292,527 saman dikeluarkan sepanjang tempoh Op Selamat 15 dengan Kontinjen Bukit Aman mencatatkan pengeluaran tertinggi iaitu 59,096 notis.
“Selain itu, sebanyak 658 kes pecah rumah dan premis serta Selangor mempunyai rekod paling tinggi, iaitu 157 kes,” katanya.-UTUSAN ONLINE











