KUALA LUMPUR – Golongan belia yang ingin merasai pengalaman berlayar di tengah lautan dipelawa menyertai Program Jati Diri Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera (Skim Belia) 2019 Voyage 392/19 pada 17 hingga 26 Julai ini.
Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dalam satu kenyataan memaklumkan, program anjuran Kementerian Belia Sukan (KBS) dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu bertujuan mendedahkan belia kepada kemahiran ilmu pelayaran dan kepemimpinan.
Sehubungan itu, belia yang berminat dan ingin memohon perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dengan merujuk laman portal KBS di www.kbs.gov.my.
“Belia yang melepasi syarat boleh memuat turun Borang Pengesahan KLD Tunas Samudera di portal KBS dan mengisi borang pendaftaran di pautan https://forms.gle/dL3vNVXDrpQpr6sU8.
“Pendaftaran dibuka sehingga 27 Jun ini. Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman yang cukup bermakna ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











