PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mempertimbangkan permintaan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador agar gaji anggota polis berpangkat rendah dinaikkan.
Menurut Perdana Menteri, beliau akan memikirkan mengenai perkara itu.
“Saya fikirlah,” katanya dengan ringkas dalam dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bil.3/2019 Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Perdana Menteri diminta mengulas berhubung permohonan Abdul Hamid agar gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.
Menurut Abdul Hamid, gaji yang diperoleh golongan berkenaan iaitu daripada sarjan ke bawah adalah rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka bertugas di bandar-bandar besar. – UTUSAN ONLINE











