KUALA LUMPUR – Jumlah anggota polis perlu ditambah bagi mengimbangi nisbah populariti rakyat di negara ini yang semakin meningkat.
Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Hussin Awang Ngah berkata, cadangan tersebut juga perlu diambil perhatian ekoran bebanan dan tekanan kerja yang semakin tinggi sehingga mampu menyebabkan kualiti perkhidmatan menurun.
“Jumlah keanggotaan perlu ditambah seiring dengan ancaman yang kini datang dalam pelbagai dimensi. Malah, nisbah anggota polis dan rakyat di negara ini melebihi daripada yang sepatutnya.
“Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengikut standard negara luar dalam menetapkan nisbah anggota supaya tekanan dapat dikurangkan,” ujarnya.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador semalam yang mahu gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah diberi keutamaan.
Kata Abdul Hamid, ini ekoran peningkatan kos sara hidup tinggi terutama di bandar besar sehingga tidak mampu ditampung anggotanya. – UTUSAN ONLINE











