Penjual ikan dera anak angkat ditahan - Utusan Malaysia

Penjual ikan dera anak angkat ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Jun – Penjual ikan yang diburu kerana mendera anak angkatnya dengan menggunakan sudu panas minggu lalu telah ditahan di Bandar Kinrara 5, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek berusia 49 tahun yang sebelum ini diburu kerana mendera kanak-kanak berusia tujuh tahun itu ditahan pada pukul 10 malam.

“Kita turut merampas dua sudu panjang berukuran 30 sentimeter yang digunakan untuk mencederakan mangsa dalam pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Pinggiran Putra, Seri Kembangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil soal siasat, suspek mengaku mencederakan mangsa dan akan direman pagi ini di Mahkamah Majistret Petaling Jaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujar Ismadi, seorang lagi anak suspek yang berusia sembilan tahun kini berada dalam jagaan ibu suspek dan akan dihantar untuk pemeriksaan hospital.

“Mangsa dalam kes ini pula masih mendapatkan rawatan di Hospital Serdang dan siasatan lanjut masih diteruskan,” jelasnya.

Rabu lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun mengalami kecederaan melecur di kedua-dua pipi dan tangan, pinggang kanan serta kaki kiri akibat didera bapa angkatnya menggunakan sudu panas dalam kejadian pada 30 Mei lalu.

Suspek yang bekerja di Pasar Borong Serdang itu diburu polis selepas melarikan diri sejak 31 Mei lalu dan meninggalkan kanak-kanak terbabit di rumah bersama anak kandungnya yang berusia sembilan tahun.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini