YAN – Pakatan Harapan (PH) bakal menghadapi masalah sekiranya membuat sesuatu keputusan yang tidak disenangi oleh rakyat khususnya apabila tidak berpegang dengan janji manisfesto.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Datuk Johari Abdul berkata, setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan ketika ini sedang dinilai oleh rakyat.
“Rakyat membuat penilaian, sama ada kita berpegang teguh atau tidak dengan janji kita. Jika tidak berpegang teguh, kita akan menghadapi masalah dengan rakyat,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PH Kedah di Guar Chempedak, di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.
Latheefa dilantik mengetuai SPRM berkuat kuasa 1 Jun lalu menggantikan Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull yang memendekkan tempoh kontrak perkhidmatannya.
Pelantikan Latheefa yang juga bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM didakwa tidak menepati manifesto PH yang melarang pelantikan dalam kalangan ahli politik.
Meskipun mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin PH sendiri, namun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini menegaskan bahawa keputusan beliau melantik Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM yang baharu adalah muktamad.
Sementara itu, Johari berkata, beliau sentiasa berpegang teguh dengan apa yang dijanjikan di dalam manifesto PH.- UTUSAN ONLINE










