PORTO – Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo menegaskan, kejayaan skuadnya meraih trofi Liga Negara-Negara Eropah semakin menjadikan dirinya dahagakan kemenangan sekali gus menghalang niatnya untuk bersara di pentas antarabangsa dalam masa terdekat.
Portugal yang turun selaku juara Euro 2016 menewaskan Belanda 1-0 menerusi gol daripada penyerang, Goncalo Guedes pada minit ke-60.
“Portugal telah memenangi trofi penting seperti Euro 2016. Memang nampak kami mudah meraih kemenangan tetapi ia sebenarnya sukar kerana setiap pemain perlu bekerja keras dan dedikasi serta fokus 100 peratus di atas padang.
“Selagi saya memiliki motivasi dan kudrat, saya akan terus mewakili Portugal. Ini kerana apabila saya mewakili pasukan kebangsaan, saya seperti berada di rumah sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, pemain berusia 34 tahun itu yakin kejayaan mereka akan memberi rangsangan terbaik untuk layak ke pentas Euro 2020.
“Saya sudah beraksi bersama skuad Portugal selama 16 tahun dan saya tetap berasa bersemangat seolah-olah diri saya tidak pernah tua. Tenaga saya juga sama ketika berumur 18 tahun.
“Saya akan sentiasa memberikan aksi terbaik kepada Portugal. Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang terus memberi kepercayaan kepada saya untuk mengetuai jentera serangan Portugal. Selagi saya mampu, saya akan terus bekerja keras untuk menghadiahkan trofi kepada Portugal,” jelasnya. – Agensi










