Malaysia tarik pelaburan RM53.9b - Utusan Malaysia

Malaysia tarik pelaburan RM53.9b

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Malaysia menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM53.9 bilion dalam perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama pada suku pertama 2019, meningkat 3.1 peratus berbanding RM52.3 bilion pada suku sama tahun lalu.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, pelabur tetap yakin terhadap Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan meskipun terdapat risiko dan ketidakpastian yang mencabar ekonomi global ekoran rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Jelasnya, pertumbuhan pelaburan positif itu didorong oleh prestasi teguh sektor perkilangan yang melonjak sebanyak 126.8 peratus berban­ding suku pertama 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelaburan asing pula mening­kat sebanyak 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion berbanding RM16.9 bilion pada tahun lalu.

“Pelaburan domestik yang diluluskan pada suku pertama 2019 pula berjumlah RM24.6 bilion, menyumbang 45.6 peratus daripada pelaburan keseluruhan,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Pada suku pertama 2019, sektor perkhidmatan menarik bahagian terbesar pelaburan ke dalam ekonomi dan memperoleh 1,445 projek diluluskan dengan pelaburan bernilai RM26.1 bi­lion.

Sebahagian besar pelaburan datang daripada sumber domestik yang menyumbang RM18 bilion atau 69 peratus jumlah pelaburan diluluskan manakala sumber asing menyumbang RM8.1 bilion atau 31 peratus.

Sektor perkilangan pula terus mengekalkan daya tahan dengan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM25.4 bilion pada suku pertama 2019.

Sementara itu, sektor utama menyumbang RM2.4 bilion atau 4.5 peratus kepada jumlah pelaburan yang diluluskan pada suku berkenaan.

Sebahagian besar pelaburan dalam sektor utama iaitu RM1.4 bilion disumbangkan oleh sumber dalam negeri sementara pelaburan asing berjumlah RM1.0 bilion.

Tambah kenyataan tersebut, jumlah pelaburan yang diluluskan pada Januari hingga Mac lalu adalah daripada 1,678 projek yang dijangka mewujudkan lebih daripada 41,200 peluang pekerjaan di negara ini.

“Sektor pembuatan merangkumi bahagian terbesar potensi pekerjaan dalam ekonomi de­ngan 22,970 peluang pekerjaan atau 55.7 peratus, diikuti sektor perkhidmatan dengan 18,000 peluang pekerjaan (43.7 peratus) dan sektor utama de­ngan 240 peluang pekerjaan (0.6 peratus),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini