Pemuda mahu hadiri temuduga kerja maut dirempuh lori mengundur - Utusan Malaysia

Pemuda mahu hadiri temuduga kerja maut dirempuh lori mengundur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Perjalanan seorang pemuda berusia 21 tahun dari Kuantan, Pahang ke Kedah untuk menghadiri temuduga kerja berakhir tragedi apabila dilanggar sebuah lori yang mengundur di Kilometer 263.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Nahas pada pukul 3 petang sebelum Terowong Menora itu mengorbankan Mohd. Najib Ismail yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Kejadian itu dirakam menerusi video berdurasi satu minit yang tular dalam media sosial apabila lori tanpa muatan yang berhenti di Vista Point itu menggelungsur secara tiba-tiba sehingga ke tengah laluan lebuh raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, mangsa yang menunggang motosikal dan sedang melalui laluan tersebut kemudiannya dirempuh lori tanpa pemandu itu sehingga ke penghadang tengah lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, ketika kejadian, lori yang dipandu lelaki berusia 48 tahun itu dalam perjalanan dari Sungai Buloh menghala ke Gerik.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian pemandu lori tersebut telah memberhentikan kenderannya yang didakwa mengalami masalah pada bahagian enjin.

“Bagimanapun kenderaan itu secara tiba-tiba mengundur dari laluan ke tengah jalan dan telah dilanggar oleh mangsa yang berada di belakangnya.

“Ketika kejadian, lori tersebut kosong kerana pemandunya berada di luar kenderaan. Mangsa yang mengalami kecederaan parah maut di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan mendapati punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan dalaman.

Katanya, pemandu lori berkenaan telah pun ditahan untuk siasatan dan akan dibawa ke HRPB untuk diambil sampel darah dan air kencing bagi tujuan analisis kandungan alkohol dan dadah.

“Kenderaan terlibat juga telah ditahan dan akan dihantar ke Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) bagi pemeriksaan lanjut. Siasatan kes dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini