KUALA LUMPUR 10 Jun – Jurulatih memanah recurve para negara, Marzuki Zakaria menyifatkan kejayaan S. Suresh meraih pingat emas dalam Kejohanan Memanah Para Dunia di Hertogenbosch, Belanda semalam adalah hasil sokongan padu rakyat Malaysia.
Katanya, kejayaan tidak akan hadir tanpa doa dan sokongan rakyat Malaysia, malah beliau menganggap emas tersebut sebagai bonus buat skuad memanah para negara.
“Sasaran saya sebelum bermulanya kejohanan ini hanyalah sekurang-kurangnya seorang atlet kita layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
“Pada saya, dia memang layak meraih emas kerana telah memberi persembahan terbaik.
“Apa yang saya lihat prestasi Suresh dalam kejohanan ini amat luar biasa yang mana dia dapat mengawal emosi serta mendengar arahan jurulatih, selain kurang melakukan kesilapan,” katanya.
Ditanya mengenai persembahan keseluruhan skuad negara, Marzuki berpuas hati dengan prestasi skuad memanah para negara, terutama pasukan recurve.
Malah katanya, Malaysia masih mengintai satu lagi slot Sukan Paralimpik menerusi Kejohanan Memanah Para Asia di Bangkok, Oktober nanti.
“Bagi atlet yang tidak layak ke Sukan Paralimpik 2020, mereka masih ada peluang untuk layak pada kejohanan ini dan sekiranya lebih ramai pemanah paralimpik negara layak ke Tokyo, ia merupakan satu bonus bagi pasukan kita,” kata Marzuki.
Suresh meraih pingat emas selepas menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Eric Bennett, 7-3 (26-28, 26-26, 27-25, 26-25, 29-27) dalam final recurve individu lelaki semalam, sekali gus menempah tiket ke Sukan Paralimpik 2020.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat pada kejohanan itu adalah menerusi Allahyarham Salam Sidek yang meraih gangsa dalam edisi 2011 di Turin, Itali. – BERNAMA










