NILAI – Ratusan peniaga permaidani, kain dan kelengkapan perkahwinan di Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini merayu kepada kerajaan negeri supaya menyelamatkan kawasan tersebut daripada terus mati sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan mereka.
Pusat Perniagaan Nilai 3 yang suatu masa dahulu terkenal tempat membeli kelengkapan perkahwinan dan permaidani dalam kalangan rakyat Malaysia semakin kurang dikunjungi orang ramai sejak beberapa tahun lalu.
Keadaan itu meresahkan ramai peniaga pusat perniagaan berkenaan yang pernah dianggap sebagai syurga beli-belah terutamanya bagi rakyat Malaysia yang gemarkan set permaidani dan kain.
Peniaga permaidani, Shah Khalid, 33, berkata, dia yang sudah beberapa tahun berniaga di lokasi itu dapat merasai sambutan pelanggan yang semakin hambar.
“Dulu tempat ini sangat ramai pengunjung. Sejak dua tiga tahun lalu, bilangan orang ramai ke sini semakin kurang. Saya tidak tahu mengapa.
“Jika dulu saya boleh buat jualan sehingga RM4,000 sehari, sekarang dapat RM1,000 lebih sahaja. Ramai peniaga di sini terpaksa turunkan harga tetapi masih kurang pengunjung,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Seorang lagi peniaga permaidani dan tilam, Ikhtiar Ali, 42, berkata, Pusat Perniagaan Nilai 3 yang mula beroperasi sebagai pusat jualan kelengkapan perkahwinan serta permaidani pada tahun 2001 sangat popular dalam kalangan orang ramai.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, sambutan semakin merosot dan perubahan itu dapat dirasai apabila keadaan lalu lintas tidak lagi sesak dengan kenderaan serta orang ramai mudah mencari parkir.
Katanya, jika sebelum ini pada hari minggu atau menjelang musim perayaan, Pusat Perniagaan Nilai 3 pasti dibanjiri orang ramai tetapi berlainan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Justeru, beliau berharap ada pihak termasuk kerajaan negeri dapat membantu mempromosi dan mempopularkan semula kawasan itu.
Ikuti berita selanjutnya di akhbar KOSMO! hari ini.










