KUALA LUMPUR 10 Jun – Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi merentasi keseluruhan papan hari ini sejajar dengan bursa-bursa Asia yang lain selepas persekitaran pasaran menerima rangsangan perkembangan luaran yang positif, kata seorang peniaga.
Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 6.14 mata lebih kukuh pada 1,655.47 daripada 1,644.09 yang direkodkan pada pukul 5 petang, Jumaat lepas.
Indeks barometer itu yang dibuka 2.60 mata lebih baik pada 1,651.93 pagi tadi bergerak antara 1,651.85 dan 1,656 semasa sepanjang sesi.
Kelebaran pasaran mencatatkan kenaikan dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 613 berbanding 276 manakala 350 kaunter tidak berubah, 651 tidak didagangkan dan 28 digantung.
Jumlah dagangan menokok kepada 2.28 bilion unit bernilai RM1.79 bilion berbanding 1.55 bilion unit berjumlah RM1.52 bilion yang direkodkan pada Jumaat sebelum ini.
Menurut seorang peniaga, Bursa Malaysia kekal dalam kawasan positif pada sepanjang sesi urus niaga selepas menerima isyarat daripada stok-stok Amerika Syarikat (AS) yang melonjak pada minggu lepas berikutan wujud tanda-tanda kemungkinan kadar faedah AS yang lebih rendah serta ketegangan perdagangan global yang dijangka mengendur.
Laporan data pekerjaan bulan Mei AS yang lebih lemah daripada jangkaan turut mengukuhkan lagi ramalan bahawa Rizab Persekutuan akan melaksanakan pengurangan kadar faedah seawal Julai depan.
Saham-saham Asia naik selepas AS membatalkan ancaman tarif ke atas Mexico bagi satu kerjasama untuk menangani masalah penghijrahan haram termasuk sentimen yang berpunca daripada data perdagangan Mei bagi China yang mencerminkan perkembangan yang lebih baik daripada jangkaan. – BERNAMA










