BAGI setiap orang, sambutan Syawal yang tiba selepas sebulan berpuasa diraikan mengikut cara dan kemampuan diri masing-masing. Adakalanya, perayaan tersebut diraikan dengan cukup bersederhana kerana komitmen kerja yang banyak membuatkan persiapan dilakukan dalam skala yang kecil sahaja.
Sama seperti tahun sebelumnya, kedatangan bulan Syawal kali ini diraikan dengan penuh sederhana buat Ernie kerana kepadatan jadual seninya.
Menambahkan kesibukan, Ernie buat pertama kalinya berganding bahu dengan Syamel menghasilkan koleksi baju raya SyamelErnie X SaraJ hasil kerjasama dengan pereka Sara J.
Oleh itu, masa dan tenaganya banyak dihabiskan untuk memberi fokus pada koleksi pakaian tersebut yang memasuki beberapa festival jualan raya mega di beberapa lokasi tumpuan sehingga hari-hari terakhir menjelang raya.
“Tahun lepas sambutan raya dilakukan sederhana kerana persiapan lebih tertumpu kepada majlis perkahwinan kakak. Tahun ini lebih ringkas dan saya hanya menyiapkan apa yang patut sahaja.
“Hal ini kerana, saya sibuk memberi tumpuan pada perniagaan saya dan Syamel. Cuma saya akui sangat seronok terjun dalam bidang perniagaan, terlalu banyak pengalaman baharu yang diperolehi,” katanya yang hanya sempat membeli sepasang baju raya.
Kekosongan Syamel
Berbeza dengan Syamel, Syawal kali ini memberi seribu satu kelainan buat dirinya kerana baru sahaja kehilangan insan tersayang sebelum Ramadan yang lalu.
Pemergian datuknya (sebelah bapa) yang meninggal dunia akibat sakit tua menimbulkan rasa kekurangan dalam kemeriahan sambutan hari raya buat Syamel sekeluarga.
Manakan tidak, Syamel begitu rapat dengan arwah datuknya kerana sejak kecil dibesarkan oleh lelaki itu.
“Saya tidak nafikan, kedatangan Syawal ada sedikit kejanggalan. Saya rasa ada kekurangan sebab insan paling saya sayang dan rapat sudah tiada lagi di dunia ini.
“Sedangkan tahun-tahun sebelumnya, kemeriahan raya begitu terasa sebab arwah datuk seorang yang gemar makan. Rutin setiap pagi raya, saya akan belikan makanan kesukaan arwah seperti lemang, rendang dan kuih. Jadi, apabila arwah sudah tiada, sudah tentu sambutan raya akan berbeza,” ujarnya dalam nada sayu.
Tambah pelantun lagu Hidup Dalam Mati itu lagi, sikap arwah datuknya yang gemar ‘menyibuk’ ketika keluarga lain sedang sibuk menyiapkan juadah hari raya di dapur akan menjadi perkara yang sentiasa dikenang.
“Setiap tahun memang arwah datuk akan pantau kerja-kerja kami di dapur dan sengaja mahu sibukkan diri. Sedangkan arwah tidak perlu untuk berada di dapur.
“Selain suka makan, arwah juga pandai memasak. Walaupun cuma pandai dua menu sahaja iaitu ayam masak merah dan kuih kelepong atau onde-onde, tetapi perkara-perkara kecil sebegitulah yang membuatkan kami teringat kepadanya,” katanya yang beraya di Kuala Lumpur.
Lebih memilukan, arwah yang sentiasa menjadi penyokong dan peminat nombor satu penyanyi berusia 26 tahun itu tidak sempat untuk mendengar lagu raya terbaharu daripada Syamel yang dilancarkan baru-baru ini.
“Selalunya dialah orang pertama yang akan diperdengarkan lagu-lagu baharu saya. Jadi, apabila tidak sempat memperdengarkan lagu raya terbaharu kepadanya, saya rasa agak terkilan,” ceritanya yang menambah, lagu terakhir yang diperdengarkan kepada arwah datuknya adalah single Maafkanlah.
Lagu raya
Biarpun ada kisah tersendiri sempena Syawal kali ini, namun jiwa Ernie dan Syamel tetap bersiram rasa lega atas penghasilan single Seru Hari Lebaran yang sekali gus menjadi lagu raya pertama mereka sepanjang bergelar penyanyi.
Menariknya, lagu tersebut merupakan hasil ciptaan komposer terkenal tanah air, S. Atan, manakala liriknya pula ditulis oleh Siso Kopratasa.
Menceritakan lanjut tentang lagu tersebut, Ernie begitu teruja kerana selain dapat mengetengahkan lagu raya berunsur klasik yang masih mengekalkan elemen nostalgia, satu hal yang paling besar untuk dirinya adalah peluang bekerja dengan S. Atan.
Mengakui pada awalnya agak gemuruh kerana menyedari posisi S. Atan yang bukannya calang-calang dalam industri seni, namun Ernie bersyukur kerana kebimbangannya berakhir dengan lega selepas mengenali sendiri peribadi lelaki berusia 70 tahun itu.
“Ketika mula-mula masuk ke studio rakaman, kami memang risau sebab beliau orang lama dalam industri. Tetapi apabila mengenali peribadinya, beliau seorang yang sangat baik. Beliau membawa diri sebagai seorang guru. Kalau kami buat salah, beliau akan ajar sampai betul.
“Malah, beliau juga suka beri nasihat terutama dalam soal menjaga disiplin dan ketepatan masa. Sebab itu saya rasa sangat beruntung dapat peluang bekerja dengan legenda seperti beliau,” ujar Ernie yang menyifatkan peluang bekerja dengan S. Atan sebagai momen paling berharga dalam kariernya.
Perkara itu turut diakui Syamel yang memberitahu, selain peluang bekerja dengan S. Atan, satu hal lain yang membuatkan mereka tidak teragak-agak menjalin kerjasama adalah kerana faktor lagu itu sendiri yang bersifat klasik.
“Kita sedia maklum S. Atan seorang komposer yang banyak menghasilkan lagu lama bersadur klasik. Saya dan Ernie memang gemarkan lagu yang mempunyai elemen klasik.
“Lagu ini pula memang 100 peratus disadurkan dengan elemen tradisional dan bergenre inang. Jadi, kami sangat teruja dan berbesar hati kerana dapat menyanyikan lagu daripada seorang legenda dalam industri,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Dua bintang muda, Ernie Zakri dan Syamel bagaikan sudah tidak boleh dipisahkan. Melonjak sebagai duo popular selepas kejayaan single Aku Cinta , keintiman Ernie dan Syamel berterusan sehingga banyak yang dikongsikan sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini.











