Tajuk kali ini memang aneh, sangat aneh. Saya tak rasa ramai yang boleh meneka maksud tersirat daripada yang tersurat dalam tajuk topik kali ini. Oleh itu kalau hendak tahu, baca dan jangan berhenti sehingga habis ya!
Kita sekarang berada dalam bulan Syawal dan akan mengadakan rumah terbuka atau sekurang-kurangnya menerima kunjungan tetamu. Kita juga akan mengunjungi saudara mara dan sahabat handai sepanjang Syawal ini
Dalam kesibukan itu, suasana harmoni perlu disemarakkan dengan tradisi saling mengunjungi bagi mengeratkan silaturahim kerana ini yang dituntut dalam kita menyambut lebaran.
Sibuk menyambut lebaran sepatutnya tidak diganggu dengan unsur-unsur lain yang boleh merencatkan semangat sambutan itu sendiri. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini atau lebih tepat apabila dunia teknologi dan peranti pintar mula menguasai kehidupan kita, tradisi kunjung-mengunjung kadangkala tercemar dengan `kesibukan’ kita melayan tetamu dalam alam siber.
Maksudnya ada segelintir yang sibuk dengan peranti! Kalau tidak golongan dewasa, anak-anaklah yang paling asyik dengan gajet tangan ini hinggakan lupa yang kita meraiakan Hari Raya Aidilfitri.
Jadi, bagaimanakah untuk orang ramai secara umum dan ibu bapa khasnya membatasi masa anak-anak yang taksub dengan peranti walaupun hari raya merupakan hari yang mana keluarga berkumpul dan menghabiskan masa merayakannya.
Antara perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengawal penggunaan taksub gajet atau peranti anak-anak mereka termasuk:
- Hadkan masa perisian aplikasi
Ini boleh dilakukan dengan memuat turun aplikasi Apps Timer daripada Google Playstore bagi mengawal penggunaan masa satu-satu aplikasi atau permainan mudah alih pada peranti anak-anak. Jangan lupa muat turun Apps Lock juga bagi mengunci Apps Timer ini dengan kata laluan, penyahkunci wajah atau kunci cap jari supaya tidak boleh diakses anak-anak.
- Jadual penggunaan peranti
Buat satu jadual untuk anak-anak dan tetapkan masa tertentu bagi anak-anak menggunakan peranti.
- Pantau penggunaan
Ini sesuai buat ibu bapa yang rajin memantau aktiviti anak-anak secara mikro. Pada Android Pie, pada bahagian Settings, terdapat satu fungsi yang dibangunkan oleh Google dinamakan Digital Wellbeing. Fungsi ini dapat merekodkan aktiviti pada peranti mengikut had masa. Seperti jangka masa yang diluangkan di Mobile Legends, PUBG, Facebook, WhatsApp dan lain-lain lagi. Ibu bapa dengan mudah boleh mengetahui jumlah masa yang diluangkan anak-anak dengan sesuatu aplikasi atau permainan.
- Aplikasi berfaedah
Muat turun aplikasi-aplikasi yang berguna dan berfaedah seperti Tutor.com yang boleh membantu anak-anak mengulangkaji pelajaran melaluinya dan pastikan anak-anak menjawab soalan-soalan akademik sekurang-kurangnya lima kali seminggu.
- Sosial maya Permainan mudah alih
Bersosial bersama anak-anak di alam maya peranti seperti bermain permainan mudah alih bersama-sama pada waktu dibenarkan bermain.
Tetapi harus diingat ibu bapa sendiri harus berdisiplin dan berhenti bermain apabila tiba masa untuk berhenti. Jangan pula ‘mengata dulang paku serpih’.
Oleh itu, pada hari raya nanti diharapkan tip-tip di atas dapat membantu anak-anak lebih dekat kepada keluarga dan lebih jauh daripada peranti melainkan betul-betul mustahak.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.











