RAMADAN sudah melabuhkan tirainya. Syawal yang dirai menyaksikan ada dalam kalangan kita menambah saham akhirat dengan berpuasa enam dalam bulan ini. Penting untuk kita mengambil tahu tentang keperluan air dalam badan sepanjang menjalani ibadah sunat itu.
Air merupakan bahan kedua terpenting dalam tubuh manusia selepas oksigen. Malah, lebih 70 peratus daripada tubuh manusia terdiri daripada air. Cecair ini mempunyai pelbagai fungsi penting dalam memastikan tubuh sentiasa sihat dan cergas.
Pengambilan air yang mencukupi akan membekalkan sumber mineral terpenting dalam keseimbangan tubuh. Tubuh memerlukan air untuk mengawal suhu badan, membekalkan nutrien dan oksigen, menyahkan bahan buangan, melarutkan vitamin serta mineral dan menghalang

badan daripada kecederaan.
Bagaimanapun, kebanyakan orang tidak mengambil air yang mencukupi sedangkan, setiap hari badan kehilangan air dengan banyak melalui air kencing, pernafasan dan berpeluh. Bagi mereka yang aktif bersukan, kadar kehilangan air adalah lebih banyak berbanding mereka yang tidak aktif.
Menurut Pegawai Dietetik di Jabatan Dietetik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Rafidah Othman, kekurangan air akan mengakibatkan seseorang itu mengalami masalah seperti sembelit, sakit kepala, keletihan, rasa mengantuk, lesu pada wajah dan kehausan. Air kencing juga berwarna kuning pekat, bermakna ia jelas menandakan seseorang itu mengalami hidrasi.
“Sebenarnya, minum air perlu dijadikan rutin dan perlu diminum lebih awal sebelum tekak berasa haus. Sukatannya mengikut keperluan individu, tetapi dicadangkan seseorang itu mengambil antara enam hingga lapan gelas sehari.
“Tetapi, jumlah tersebut perlu ditambah sekiranya seseorang itu bekerja di luar dan mengamalkan gaya hidup sihat termasuk aktif bersukan serta keadaan cuaca persekitaran.
“Malah, ketika berpuasa seseorang itu tetap perlu mengambil air dengan jumlah yang sama bagi mengelakkan berlaku dehidrasi,” katanya.
Jelas Rafidah, keletihan ketika berpuasa adalah disebabkan kekurangan air dalam badan, bukannya perut lapar atau tidak cukup makan. Apatah lagi masyarakat Malaysia berhadapan dengan cuaca panas yang sekali gus menyebabkan tubuh semakin kekurangan air.
Oleh itu, ketika berpuasa pastikan anda mengambil air yang mencukupi iaitu lapan gelas sehari bagi menggantikan kehilangan air sepanjang berpuasa pada siang hari. Caranya, minum sekurang-kurangnya dua gelas semasa bersahur dan berbuka dan ambil segelas air setiap kali selepas ke tandas pada waktu malam.
Bagi mereka yang sedang berdiet, Rafidah memberitahu bahawa dengan meminum banyak air tidak akan menyebabkan seseorang itu menjadi gemuk kerana air mempunyai kosong kalori dan juga mengenyangkan.
Jelasnya, sukatan air yang diambil sebenarnya tidak hanya mengambil kira air kosong, tetapi merangkumi sup dan minuman lain termasuk kopi mahupun teh. Cuma, lebih baik jika diambil air kosong kerana lebih menyihatkan berbanding mengambil air manis.
Katanya, pengambilan minuman mengandungi kafein seperti kopi dan teh yang memiliki sifat diuretik akan menyebabkan anda sering membuang air kecil berbanding kebiasaan. Jika dibiarkan tanpa menambah pengambilan air anda akan mengalami dehidrasi.
“Pengambilan makanan yang kaya dengan gula dan karbohidrat juga akan menyebabkan seseorang berasa letih, malas, penat dan mengantuk. Ia juga akan menyebabkan paras gula dalam darah tinggi sekiranya anda menghidap diabetes.
“Oleh itu, anda mesti mengelakkan pengambilan makanan dan minuman manis secara berlebihan. Ini kerana makanan daripada kumpulan karbohidrat seperti nasi, mi, roti dan sebagainya akan bertukar menjadi glukos di dalam darah.
“Makanan daripada kumpulan karbohidrat ini sebenarnya sudah memadai dan mencukupi bagi keperluan tubuh manusia,” katanya.
Tambah beliau, peningkatan paras glukos di dalam darah juga akan menyebabkan berat badan bertambah. Keadaan itu turut menyebabkan kawalan glukos darah akan menjadi semakin buruk dan meningkatkan lagi risiko untuk mendapat penyakit lain seperti darah tinggi, jantung dan kanser.
Selain itu katanya, bagi mengetahui badan memperoleh sumber air mencukupi atau tidak, ia boleh dikesan melalui air kencing.
“Air kencing yang gelap atau pekat biasanya menandakan kita tidak minum cukup air. Badan kita memerlukan air secukupnya setiap hari untuk membolehkan ia berfungsi dengan cekap.
“Apabila badan kekurangan air, ia mengekalkan jumlah cecair dalam badan dengan mengurangkan penghasilan air kencing. Itu sebabnya air kencing menjadi pekat dan berwarna gelap. Sebaliknya jika kita minum banyak air, lebih banyak air kencing dihasilkan dan warnanya menjadi lebih cerah dan cair,” katanya.











