KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun lapan bulan berdepan detik-detik cemas selepas lehernya tersepit pada pintu jeriji rumah di Pangsapuri Baiduri di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari sewaktu kanak-kanak itu bermain di depan rumah sebelum dia bertindak berbaring dan memasukkan kaki sehingga lehernya pada pintu jeriji berkenaan.
Ibu mangsa berusia lingkungan 20-an yang panik selepas mendapati bahagian leher anaknya itu tersepit segera menghubungi bomba dan penyelamat untuk meminta bantuan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn, Penguasa Kanan Bomba II (PgKB) Shaiful Bahrin Samad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.01 tengah hari dan lima anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di rumah tersebut, terdapat seorang kanak-kanak berada pada pintu jeriji kerana bahagian lehernya tidak dapat dikeluarkan dari lubang pintu besi berkenaan.
“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan kepalanya dengan memotong pintu berkenaan menggunakan anak mata gergaji besi.
“Ketika kerja menyelamat dilakukan, kanak-kanak berkenaan memberi kerjasama sambil ditenangkan oleh ibunya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











