KUALA LUMPUR – Panik, tertekan dan takut akan penyakit yang merebak, menyebabkan Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan bertindak mengebumikan mayat anggota suku kaum itu mengikut adat dengan segera dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Prof. Dr. Juli Edo berkata, ia ditambah pula dengan ketiadaan medium komunikasi berikutan kedudukan mereka yang jauh di dalam hutan tebal berhampiran Taman Negara di sempadan Kelantan-Pahang sewaktu mereka berhijrah.
“Apa yang berlaku di Kuala Koh ini ada satu hari dua kematian, jadi kedudukan pula jauh, lepas itu mereka panik dan takut dengan penyakit jadi mereka percaya lagi lama mayat disimpan penyakit itu akan merebak. Itu menyebabkan mereka cepat-cepat kebumi.
“Kebiasaannya, Orang Asli apabila saudara mara mereka meninggal dunia, mereka akan kebumikan begitu sahaja, namun peraturan kita sekarang memerlukan mereka melaporkan kepada pihak berkuasa dan kalau kita kebumi tanpa melaporkannya ia dianggap satu kesalahan, itu undang-undang kita,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Juli berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai kejadian menimpa Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, baru-baru ini, yang didakwa dilanda penyakit misteri sehingga mengakibatkan sebilangan kematian.
Mengikut suku kaum itu, berlaku 14 kematian dengan mangsa dikebumikan secara adat oleh penduduk kampung, tetapi polis memaklumkan hanya menerima dua laporan berkaitan kematian terbabit.
Mengulas mengenai cara hidup mereka, Juli yang pernah berkhidmat di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya berkata, masyarakat Orang Asli suku kaum Batek masih mengamalkan kehidupan berpindah randah secara turun-temurun tetapi tidak sepenuhnya sekarang ini (separa nomad). – Bernama











