Lynas persoal sikap aktivis - Utusan Malaysia

Lynas persoal sikap aktivis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) mempertikaikan aktivis anti-Lynas kerana bersikap berat sebelah terhadap aktiviti syarikat itu meskipun dibuktikan menjalankan operasi yang berisiko rendah.

Pengarah Urusan Lynas, Datuk Mashal Ahmad berkata, Lynas adalah syarikat yang sah dan percaya semua penilaian operasi harus berdasarkan fakta saintifik, bukti pematuhan peraturan dan pelaksanaan amalan terbaik secara sukarela.

Katanya, Jawatankuasa Semakan Eksekutif oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) merupakan yang terbaharu daripada empat kajian saintifik kebangsaan dan antarabangsa berasingan yang mendapati operasi Lynas berisiko rendah dan mematuhi peraturan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak operasi bermula, Lynas telah mematuhi keperluan kawal selia, semua syarat lesen dan melaksanakan amalan terbaik antarabangsa secara sukarela.

“Walaupun hasil penemuan empat ulasan saintifik tersebut serta pengawalseliaan dan pemantauan berterusan, kenyataan mengelirukan terus dibuat oleh kumpulan aktivis anti-Lynas yang tidak berkelayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mashal, rakyat Malaysia mahu mempercayai bahawa mereka diberitahu kebenaran berdasarkan fakta saintifik.

Katanya pada Disember 2018, Jawatankuasa Semakan Eksekutif saintifik terhadap Lynas berkata operasi yang dijalankan adalah berisiko rendah, mematuhi peraturan yang berkaitan dan kemudahan penyimpanan residu dikendalikan dengan cara yang betul.

Beliau mempersoalkan mengapa industri lain tidak menerima tekanan yang sama seperti Lynas.

“Malaysia mempunyai banyak industri lain yang mempunyai risiko lebih tinggi, malah beberapa industri ini beroperasi berdekatan dengan kilang Lynas. Namun tidak ada perdebatan politik mengenai industri-industri ini,” kata beliau.

Menurut Mashal, Lynas bersama para saintis terkemuka di Malaysia dan antarabangsa ingin bertanya, mengapa aktivis anti-Lynas dibenarkan untuk menyasarkan Lynas dengan kempen-kempen menakutkan yang tidak berdasarkan fakta saintifik.

“Mengapa aktivis ini mengabaikan banyak lagi industri di negara ini dengan risiko yang lebih tinggi dan radioaktif yang lebih tinggi?” soalnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini