KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) memohon supaya kerajaan memfokuskan fungsi tanam semula kepada hanya satu kementerian bagi memudahkan urusan pelaksanaan tanam semula terutamanya kepada sektor huluan termasuklah pekebun kecil.
Sehubungan itu, jelas Presidennya, Datuk Aliasak Ambia, pelaksanaan tanam semula terutamanya kelapa sawit sebaiknya diserahkan kembali kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Jelasnya, ini kerana RISDA telah mempunyai mekanisme dan kelengkapan yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti tanam semula sawit berbanding Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Aktiviti tanam semula sawit yang diberikan kepada MPOB tidak dapat dijalankan dengan lancar kerana MPOB tidak mempunyai tenaga kerja dan kelengkapan seperti yang dimiliki oleh RISDA.
Jika aktiviti tanam semula sawit diserahkan kepada RISDA, pelaksanaannya akan lebih lancar dan memudahkan pemain industri terutamanya pekebun kecil sawit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, jelas Aliasak, pihaknya telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Dr. Tan Yew Chong di Putrajaya, pagi tadi.
Pada pertemuan tersebut katanya, PKPKM telah mencadangkan supaya pihak kementerian mengembalikan pinjaman tanam semula kelapa sawit sebagai satu bantuan dan bukan pinjaman dan menganggap bantuan tersebut sebagai satu pelaburan jangka panjang kepada pekebun kecil.
“PKPKM memohon supaya bantuan pinjaman tanam semula kelapa sawit dijadikan sebagai geran dan bukannya pinjaman. Hal ini kerana tanaman sawit merupakan tanaman komoditi utama negara.
“Sekiranya bantuan tersebut dijadikan pinjaman, sambutan daripada pekebun kecil akan berkurangan. Perkara ini seterusnya akan mengakibatkan keluasan tanam semula mengecil serta menjejaskan pendapatan pekebun kecil dan negara,” katanya.
Tambah Aliasak lagi, matlamat kerajaan untuk mewujudkan industri sawit yang mampan dan mengikut Amalan Pertanian Baik (GAP) tidak akan dapat dicapai sekiranya perkara tersebut berlaku.
“Kerajaan perlu lebih meneliti perkara ini kerana kesannya akan menjejaskan pendapatan negara pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











