BBM atau BlackBerry Messenger boleh dianggap sebagai aplikasi perintis bagi sembang dalam telefon secara percuma tetapi syaratnya, penghantar dan penerima hendaklah menggunakan telefon BlackBerry.
Ciri ini juga menjadi daya penarik kepada kelarisan model ini dengan kemuncaknya pada 2009. BBM adalah hasil ciptaan syarikat Kanada, RIM yang pada asalnya tertumpu kepada produk perniagaan sebelum diperluas ke pengguna umum.
Malah pada satu ketika, Presiden Barack Obama dilaporkan menerima ‘lampu hijau’ daripada pasukan keselamatannya untuk menggunakan BlackBerry atas jaminan ciri-ciri perlindungan yang ada padanya yang tidak boleh ditembusi alat pengintipan.
Tetapi kemunculan aplikasi WhatsApp, Telegram terutamanya, menyepikan minat terhadap BlackBerry yang sudah pun menerima tekanan berat daripada kemunculan syarikat telefon lain yang tampil dengan model telefon bimbit serba canggih.
Pada 31 Mei lalu, perkhidmatan mesej BBM itu secara rasmi ditamatkan. Penggunanya telah dimaklumkan sejak April supaya membuat perubahan oleh Emtek, firma Indonesia yang memiliki BBM. BlackBerry meninggalkan industri telefon pada 2016.
Meskipun versi pengguna BBM ditutup, satu versi perniagaan BBM masih wujud iaitu BBM Enterprise. Sejak April, pengguna boleh memuat turunnya dari Kedai App iOS dan Android, percuma bagi tahun pertama dan AS$2.49 (RM10.40) setiap enam bulan.
WhatsApp jadi rasmi
Tidak berapa lama dahulu dan ini tidak merujuk kepada lima enam tahun lalu tetapi mungkin baru tahun lalu, apa sahaja tercatat di dalam WhatsApp dianggap sebagai ‘tidak rasmi’ dan ‘boleh dipersetankan’ walaupun dua titik sudah berwarna biru (petanda ayat sudah dibaca).
Sekarang, semua sudah berubah. WhatsApp adalah medium komunikasi utama. Bukan saja pernyataan berbentuk arahan rasmi tetapi juga dokumen memo dikirim menerusinya.
Pengguna seperti kita, bersedia mengetepikan soal prosedur standard operasi (SOP) tradisional kerana faktor WhatsApp lebih cepat dan lebih kerap kita buka setiap hari.
Ciri paling disukai ialah menghimpunkan kawan-kawan dalam satu grup. WhatsApp cuma dapat menampung 250 nombor berbanding Telegram yang jauh lebih besar.
Hal kerja
Kita tidak Merrepak terlalu mendalam hal di atas. Kerana fokus hari ini ialah implikasi penggunaan WhatsApp sebagai medium komunikasi rasmi di tempat kerja anda.
Sebagai penyelia, grup WhatsApp ini amat membantu usaha menyalurkan maklumat kepada warga kerja seperti pembatalan cuti raya, penangguhan gaji, pembayaran gaji separuh bulan atau syarikat ditutup terus. Begitu juga kepada warga kerja, tentunya manfaat WhatsApp amat genting.
Tetapi bagaimana komunikasi di dalam grup yang ada penyelia atau bos, menjadi tunggang-langgang disebabkan perselisihan faham atau jenaka yang tidak kesampaian? Bagaimana pula anda tidak mahu diganggu semasa demam atau bercuti? Rimas, bukan?
Bolehkah anda meninggalkan grup? Dan apakah kesan kepada anda berbuat demikian?
Buang kerja
Tahukah anda boleh dibuang kerja jika Exit Group tanpa memberi notis. Inilah yang terjadi kepada seorang warga kerja Maxis, seperti dibentangkan oleh portal nasihat perundangan AskLegal.my dalam posting pada 26 Mei lalu.
Memetik kes yang dibicarakan di dalam Mahkamah Perusahaan pada 27 Mac lalu iaitu aduan terhadap Maxis yang dituduh membuang kerja seorang pegawai wanita semata-mata kerana dia meninggalkan dua grup WhatsApp syarikat itu!
Kita tidak menamakan pegawai itu di dalam Merrepak ini, yang bertugas sebagai Eksekutif Jualan dan Perkhidmatan Maxis, yang tanggungjawabnya ialah menghantar laporan setiap hari menerusi WhatsApp kepada pengurus cawangannya.
Dia dimasukkan ke dalam dua grup WhatsApp iaitu pertama mengandungi Pengurus dan Penyelia manakala kedua, dengan semua rakan setugas. Ketua cawangan juga telah memaklumkan semua petugas bahawa mereka perlu memaklumkan kepadanya jika mahu keluar dari grup WhatsApp.
Menurut fakta kes, pegawai itu keluar grup tanpa kebenaran penyelianya. Dalam pembelaannya, dia menyatakan tidak mengetahui mengenai polisi syarikat yang mewajibkannya memberitahu pengurus cawangan. Memandangkan itu kesilapan pertama, dia hanya dikeluarkan amaran oleh pengurus.
Malang, pegawai itu mengulangi perbuatannya. Kali ini, dia meninggalkan kedua-dua grup tetapi hanya memberitahu grup rakan-rakan sekerja bahawa dia mahu bercuti untuk menenangkan jiwa. Kesan dia keluar itu, sudah tentu laporan harian jualan dan perkhidmatan tidak dihantar.
Akibatnya, Maxis mengambil tindakan serius dengan memberinya surat tunjuk sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh dikenakan terhadapnya.
Pegawai itu gagal memberi alasan konkrit, lalu dipecat oleh Maxis. Lanjutan itu, pegawai tersebut menyaman Maxis atas dakwaan ketidakadilan terhadapnya dan mahu jawatannya dikembalikan serta pampasan sepanjang pemberhentian.
Mahkamah SETUJU
Menurut Asklegal.my, mahkamah telah menilai daripada segenap penjuru fakta kes sebelum membuat keputusan. Mahkamah amat peka bahawa kes itu akan menjadi penanda aras kepada setiap grup WhatsApp di tempat kerja kerana ‘meninggalkan WhatsApp sewenang-wenangnya adalah sama dengan melanggar polisi syarikat’.
Jadi anda yang berada di dalam grup WhatsApp bersama bos anda, silalah tanya lembut-lembut kepadanya mengenai syarat-syarat keluar grup.
NOTA:
Penulis mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca budiman Merrepak .
Maaf Zahir Batin!











