Selamat bertugas Latheefa! - Utusan Malaysia

Selamat bertugas Latheefa!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANTIKAN Latheefa Koya secara unilateral dan ‘mencurigakan’ ke jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM masih belum reda. Ke mana-mana beraya, jadi bahan bawang. Ada yang tegakkan benang basah, ramai pula yang mengkritik. Tak kurang yang berteori dan beri ‘inside story’.

Ramai yang kata PH ni cakap tak serupa bikin, indah kabar dari rupa. Kebanyakannya berpunca dari sikap Tun M yang PH tersalah hitung dan tak dapat baca. Semua ingat beliau telah berubah 180 darjah. Ternyata silap. Tun M tetap Mahathir 1.0 terbukti dalam pemilihan ke jawatan penting institusi kerajaan.

Dari pemilihan Tan Sri Rahim Noor sebagai fasilitator baru untuk proses keamanan di selatan Thailand hinggalah Gabenur Bank Negara, IGP, Ketua SPR. Rakyat dan pemerhati politik tidak bising ketika itu kerana faham kerajaan baru dan masa serta keperluan yang mendesak kerajaan baru 1 tahun memerintah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tapi tidak dengan lantikan Ketua SPRM. Dah masuk tahun kedua, kontrak Shukri yang berbaki setahun. Lebih mencurigakan ia diumumkan pada petang raya sedangkan Shukri telah menyampaikan hasratnya untuk bersara dan telah bersedia  dengan dua calon pengganti dua bulan yang lalu.

Justru Lim Kit Siang menyatakan lantikan itu boleh dari sudut perlembagaan kerana Akta SPRM tetapi salah dari sudut politik kerana aspirasi yang termaktub dalam manifesto PH. Lebih menarik bila Lim Kit Siang menyatakan Latheefa pasti yang ke depan melalak atas lantikan ini jika bukan dirinya yang dipilih.

PH telah benar-benar melepaskan peluang merealisasikan aspirasi PH dari peringkat manifesto menjadi realiti. Sesuatu yang ‘no brainer’ atau tak memerlukan otak untuk merubah dan melaksanakannya.

Dan dari sekarang pemimpin PH yang bukan dari UMNO harus menerima kenyataan ini dan menerima perlantikan Latheefa bila secara diktatornya Tun M mengatakan itu keputusan beliau sendiri dan beliau tidak akan berganjak dari keputusan itu.

Rakyat dan penyokong sudah mual melihat ahli politik bercakaran apalagi dari sesama kelompok barisan atau pakatan. Kebanyakan tahu Tun M punca utama kepada kemelut ini yang melanggar proses dan aspirasi meletakkan institusi kerajaan tertentu di bawah parlimen dan bukan lagi dibawah telunjuk perdana menteri.

Apa yang terjadi telah terjadi. Semua pemimpin harus ‘Move On’. Tiada lagi ruang untuk memulihkan imej PH yang telah rosak kecuali mereka yang dipilih itu melaksanakan amanah yang diberikan Tun M kepada mereka ‘par excellence’.

Latheefa mesti buktikan pemilihannya tepat dan prestasi SPRM dijulang lebih cemerlang, lebih berani tanpa mengenal bulu dan semestinya lebih baik dari SPRM zaman Shukri dan era BN.

Tun M memilihnya kerana menurut penilaian Tun M dan maklum balas yang didengarnya si Latheefa ini sangat tegas, sentiasa bercakap benar dan berterus-terang. Pemilihannya juga kerana beliau adalah seorang yang mempunyai karakter yang kuat. Dengan lain perkataan Latheefa sudah pasti tidak akan berhenti di tengah jalan sebelum kontraknya tamat.

‘First Impression’ sangat penting! Untuk meyakinkan yang beliau tidak memilih bulu, mungkin Latheefa kena buka kembali kes Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, yang kekayaannya luar biasa di umurnya yang terlalu muda. Atau siapa sahaja di kalangan bekas partinya yang kekayaannya dan perbelanjaan semasa pemilihan partinya terdapat keraguan dan diluar jangkaan.

Dan bila kontraknya sudah dipenghujung nanti, Latheefa harus bekerjasama dengan Perdana Menteri baru ketika itu (jika Mahathir 1.0 sedia untuk menyerahkan kuasa seperti janjinya dan kesepakatan dalam PH) untuk merealisasikan aspirasi PH mereformasi SPRM dengan pelantikan Ketua SPRM yang baharu melalui Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen.

Ketika itu kritikan terhadapnya pasti akan malu sendiri kerana beliau telah buktikan kewibawaannya seperti penilaian Tun M dan yang lebih membanggakan telah terbukti beliau seorang reformis tulin yang membantu mereformasikan institusi kerajaan di bawah kuasa Parlimen dan tidak lagi menjadi alat kepada Perdana Menteri untuk salah guna kuasa.

Bukan senang sebenarnya nak jadi reformis. Kes Latheefa ini adalah ujian asid yang berkesan ke atas Latheefa dan pemimpin PH dan ternyata Reformis dari kalangan pemimpin PH itu sendiri sangat sedikit. Malah ramai yang mengecewakan!

Selamat bertugas Latheefa!

Wai Tee

10 Jun 2019

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini