Bukan setakat kutip sampah - Utusan Malaysia

Bukan setakat kutip sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) atau SDGs adalah teras agenda 2030 bagi pembangunan mampan yang dipersetujui oleh ketua-ketua negara dan masyarakat antarabangsa pada 25 September 2015 di Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia adalah kesinambungan agenda pembangunan yang diteruskan selepas berakhirnya Millennium Development Goals (MDGs) pada 2015. SDGs mengandungi 17 matlamat yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Antara matlamat penting pembangunan lestari yang dipersetujui adalah tiada lagi kemiskinan dan kelaparan; menekankan kesihatan dan kesejahteraan; pendidikan berkualiti; kesamarataan gender; air bersih; tenaga bersih; kerja dan pertumbuhan ekonomi; kekentalan industri; mengurangkan ketaksamarataan; bandar lestari; kepenggunaan bertanggungjawab; pengurangan karbon; kehidupan di daratan dan lautan; governans adil dan keamanan; dan rakan kongsi mencapai matlamat kelestarian.

Bagi mencapai kesemua agenda ini, sudah pasti negara memerlukan kerajaan yang memiliki political will dan good governance. Maka di sinilah pihak kerajaan tempatan dilihat memainkan peranan amat penting bagi memastikan segala agenda dan matlamat ini tercapai secara menyeluruh menjelang tahun 2030.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkara utama yang termaktub di dalam SDG adalah agenda memerangi kemiskinan. Kadar kemiskinan di Malaysia pada umumnya telah menurun hasil daripada dasar-dasar kerajaan yang digubal sejak kemerdekaannya pada 1957. Pun begitu, agenda ini masih diteruskan di bawah aspirasi kerajaan.

Justeru dalam hal ini, pihak kerajaan tempatan boleh membantu negara dalam mengurangkan kadar kemiskinan. Ia boleh dilakukan dengan mewujudkan langkah-langkah yang dapat membuka peluang pekerjaan selain meningkatkan pendapatan penduduk setempat melalui penyampaian perkhidmatan seperti penyediaan gerai-gerai perniagaan, pengeluaran perlesenan dan permit perniagaan, sewaan tapak, dan sebagainya.

Contohnya, dalam usaha mengurangkan kemiskinan, Majlis Daerah Raub (MDR) membangunkan ekonomi tempatannya dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk melalui sewaan tapak serendah RM500 sebulan untuk penanaman strawberi berskala besar di Bukit Fraser. Kini, Bukit Fraser adalah kawasan tanaman strawberi baharu yang kedua terbesar di Pahang selepas Cameron Highlands berikutan kejayaan MDR menanam 4,800 pokok strawberi di Bukit Fraser sejak awal 2018.

Begitu juga dalam memastikan amalan kehidupan sihat dan kesejahteraan penduduk, kerajaan tempatan boleh memainkan peranan dalam menggalakkan penduduk menggunakan pengangkutan awam supaya pencemaran udara dapat dikurangkan seperti menjalankan kempen Hari Tanpa Kenderaan yang kini dilaksanakan di beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini.

Dalam usaha pada itu, ada juga PBT, yang menjalankan aktiviti-aktiviti yang memupuk gaya hidup sihat menerusi penganjuran Gaya Hidup Sihat (My Healthy Living) dan banyak lagi aktiviti berbentuk riadah.

Untuk mewujudkan pekerjaan mampan dan mengalakkan pertumbuhan ekonomi, PBT disarankan mengenal pasti potensi pelancongan sebagai salah satu sumber pendapatan baharu kepada kerajaan tempatan. Daerah Raub diiktiraf sebagai destinasi pelancongan kedua yang memiliki udara bersih untuk kesihatan, selepas Bentong. Raub juga menyediakan aktiviti-aktiviti menikmati buah-buahan tempatan untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Pada masa ini, terdapat pengusaha sektor pelancongan yang menawarkan pakej makan buah tempatan seperti di Benum Hill Resort dan Homestay Peruas. Apabila lebuhraya Central Spine Road (CSR) siap sepenuhnya, ia akan memendekkan perjalanan pelancong dari Lembah Klang ke Raub, sekali gus meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi di Raub.

Bagi memperkukuhkan rakan kongsi demi mencapai matlamat kelestarian, kerajaan tempatan mampu melaksanakan kolaborasi bersama pihak swasta, orang awam dan badan-badan kerajaan lain sebagai langkah untuk melaksanakan program pembangunan dan projek-projek yang memenuhi tuntutan masyarakat. Cadangan untuk kerjasama ini telah lama dicetuskan dan ia dapat dilihat dalam Local Agenda yang mana kerajaan tempatan digesa untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, orang awam dan pihak lain dalam membangunkan komuniti.

Dahulunya peranan kerajaan tempatan dianggap mudah kerana paksinya diletakkan di tingkat ketiga selepas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Namun kini tugas dan peranan kerajaan tempatan semakin penting dan mencabar mengikut peredaran semasa.

Anggapan bahawa tugas kerajaan tempatan hanyalah berkaitan membersihkan dan memungut sampah di kawasan perumahan hanyalah melambangkan seseorang itu cetek ilmunya. Jadi, kerajaan dan orang awam perlulah memperkasakan kerajaan tempatan kerana kerajaan tempatan juga memerlukan dana secukupnya bagi membolehkan mereka mencapai aspirasi pembangunan lestari ini. Kerajaan perlu memberikan lebih autonomi kepada kerajaan tempatan dari aspek kewangan. Sumbangan rakyat? Jangan lupa bayar cukai pintu. – UTUSAN ONLINE

Mohd. Rozaimy Ridzuan ialah Pensyarah dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini