UMNO Marang perkemas keahlian - Utusan Malaysia

UMNO Marang perkemas keahlian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG – UMNO Bahagian Marang kini selesai melakukan fasa pemutihan keahlian dengan ‘membuang’ mereka yang didapati membuat onar terhadap parti ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Ketuanya, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku memberitahu, proses pemutihan adalah membabitkan ahli yang menyertai parti lain di samping mereka yang dikenal pasti membantu dan menyokong calon parti lain sepanjang tempoh pilihan raya umum.

Sehubungan itu, Nik Dir mengajak kepimpinan empat peringkat di bahagian berkenaan termasuk di peringkat cawangan agar kembali bersatu bagi memperkuatkan parti sepanjang menghadapi waktu sukar ketika ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun kita membuat pemutihan dengan membuang ahli tetapi, kebanyakannya adalah yang tidak berkualiti dan dianggap membawa penyakit kepada parti.

“Kita tidak bimbang dengan perkara tersebut kerana di sebalik tindakan dibuat, kita berjaya merekrut lebih 500 keahlian baharu melibatkan golongan muda yang menyertai UMNO di bahagian ini,” katanya ketika ditemui Utusan Online dalam Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Marang di kediamannya di Pulau Kerengga di sini semalam.

Lebih 2,000 pengunjung hadir pada majlis itu termasuk Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin dan Setiausaha UMNO Bahagian, Roslan Ngah.

Menurut Nik Dir, walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan lagi parti pemerintah di peringkat pusat dan juga negeri namun, sokongan rakyat di peringkat akar umbi tidak goyah.

Malah katanya, sejak kebelakangan ini kebanyakan pengundi di kawasan itu seolah-olah mengharapkan sesuatu daripada UMNO dan BN berikutan kecewa dengan janji-janji palsu kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih belum tertunai.

“Kita akan terus mengadakan pertemuan dengan rakyat untuk menyedarkan mereka mengenai setiap kepincangan yang dilakukan kerajaan ketika ini.

“Kita akan menjadikan kepincangan tersebut sebagai modal penting untuk menerangkan kepada rakyat khususnya pengundi di kawasan Parlimen ini mengenai janji-janji pilihan raya yang gagal ditunaikan, biar rakyat membuka mata seluas-luasnya setelah tertipu akibat silap membuat pilihan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini