Tiada cadangan bina lapangan terbang baharu Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Tiada cadangan bina lapangan terbang baharu Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan menegaskan tidak pernah dimaklumkan dan tidak terlibat berhubung cadangan membina dua lapangan terbang yang baharu di Pulau Pinang seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, malah pihaknya tidak pernah menerima sebarang kertas cadangan untuk membina kedua-dua lapangan terbang baharu tersebut.

“Kuasa untuk menubuhkan atau menyelenggarakan sesuatu aerodrom atau membenarkan mana-mana syarikat yang mempunyai lesen untuk menubuhkan, menyelenggarakan dan mengendalikan sesuatu aerodrom adalah merupakan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Pengangkutan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3].

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan juga menggesa pihak media supaya tidak membuat sebarang laporan spekulasi berhubung dengan pembinaan lapangan terbang tanpa pengesahan daripada pihak kementerian,” kata kenyataan itu.

Kenyataan juga memaklumkan, Kementerian Pengangkutan pada masa ini sedang merancang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang sedia ada di Bayan Lepas.

Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan dua syarikat pemaju swasta berminat membangunkan dua lapangan terbang baharu di daerah Seberang Perai Selatan.

Salah satu pemaju swasta terbabit dikatakan sudah membentangkan cadangan berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan, manakala sebuah lagi syarikat dikatakan akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

Cadangan pertama projek itu dilapor dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) yang dikatakan akan mengambil ribuan hektar tanah perusahaan sawah manakala cadangan kedua pula dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara Malaysia (NORIA) yang dikatakan akan mengambil 5,000 hektar pesisir pantai Seberang Perai Selatan dengan kedua-duanya dicadang dibina pada jarak 10 kilometer.

Cadangan itu dikatakan akan menyebabkan operasi LTAPP terpaksa ditamatkan, selain tapak lapangan terbang itu akan menjadi timbal balas kepada pemaju NMIA. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini